Selepas enam tahun, Najib boleh mengajar undang-undang

Selepas enam tahun, Najib boleh mengajar undang-undang

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa, pemahamannya terhadap undang-undang sejak dituduh enam tahun lalu membolehkannya untuk mengajar mengenai undang-undang.

Bukan itu sahaja, Najib mendakwa beliau juga boleh mengajar cara untuk menyalahgunakan undang-undang namun tidak menggalakkan sesiapa untuk melakukannya.

“Enam tahun seperti ini lebih berharga daripada pendidikan universiti! Pada ketika ini, saya rasa saya boleh mengajar bukan sahaja undang-undang jenayah tetapi juga undang-undang sivil termasuk bagaimana undang-undang percukaian boleh disalahgunakan. 

“Ia adalah pengalaman pembelajaran yang intensif dan praktikal namun saya tidak akan mengesyorkannya kepada sesiapa,”kata Najib.

Bekas Ahli Parlimen pekan itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung pengetahuannya mengenai pertuduhan yang adil pada prosiding bela diri kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib mempertikaikan keputusan Hakim Bicara, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dan mengarahkan bekas Presiden UMNO itu untuk membela diri.

“Dengan segala hormatnya, apabila Yang Arif membuat keputusan tersebut, Yang Arif masib belum mendengar keterangan saya. Saya yakin dan percaya, dengan disokong oleh pandangan peguam-peguam saya bahawa pertuduhan salah guna kedudukan adalah tidak adil dan memprejudiskan saya.

“Pertuduhan pertama hingga keempat telah dibuat dengan tidak jelas sehingga saya terpaksa meneka fakta yang perlu saya jawab. Keadaan ini juga telah menyukarkan pembelaan saya. Saya percaya cara pertuduhan ini dibuat bukanlah suatu kebetulan tetapi usaha sengaja memprejudiskan saya.

“Dengan segala hormatnya, pertikaian saya dengan keputusan Yang Arif adalah berpunca daripada prasangka yang mendalam dan tidak boleh diperbaiki disebabkan oleh sifat pertuduhan yang tersalah arah dan mengelirukan. Saya dengan segala hormatnya menggesa Yang Arif untuk mempertimbangkan semula keputusan itu memandangkan telah wujud ketidakadilan yang besar,” kata Najib.

Sehubungan itu, Najib ketika membaca penyataan saksinya merayu agar beliau diberikan keadilan yang sewajarnya.

“Yang Arif, saya merayu kepada kebijaksanaan dan keadilan Yang Arif. Di sebalik fakta dan tuduhan yang dikemukakan, saya hanyalah seorang insan yang mengharapkan peluang untuk mempertahankan kebenaran. Janganlah biarkan keadilan menjadi mangsa kepada permainan politik dan niat jahat.

“Saya mohon dengan sepenuh hati agar Yang Arif menilai perkara ini dengan hati yang tulus dan mata yang jernih, demi memastikan bahawa mahkamah ini terus menjadi benteng terakhir keadilan,”ujar Najib.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya