SEPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang hilang dari rumah ibu saudaranya di sini sejak 29 Disember lalu akhirnya ditemukan selamat malam tadi.
Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani ditemukan di sebuah restoran sekitar pukul 11.15 malam di Batu 9 Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, remaja itu telah pun diserahkan kepada ibu bapanya malam tadi.
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga mangsa dijumpai semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan menetap di rumah kenalan sepanjang tempoh itu.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang dari rumah ibu saudaranya di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang.
Difahamkan, mangsa dikatakan melarikan diri selepas berlaku selisih faham keluarga. – UTUSAN