PETALING JAYA: Penyanyi, Nuha Bahrin, sedang mengenali hati budi seorang lelaki bernama ‘Y’.
Nuha atau Nuha Sakina Saiful Bahrin, 25, mengakui pengenalannya dengan jejaka tersebut bermula ketika masing-masing terlibat dalam penggambaran video muzik lagunya, Ela Eynak.
“Sekarang berkawan, kenal-kenal sahaja dulu. Hubungan itu belum serius selagi belum kahwin.
“Kami pun baru kenal semasa pembikinan lagu. Kalau kawan pun, kami tetap boleh keluar bersama, kan?,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Nuha sedang giat mempelajari bahasa Arab dan berhasrat menghasilkan lebih banyak lagu saduran atas permintaan peminat.
“Saya sedang seronok belajar bahasa arab dan warganet pun sama-sama menyokong.
“Dengan menyanyikan lagu bahasa Arab, proses pembelajaran saya lebih mudah dan saya tahu maksud di sebalik lirik yang saya ulang.
“Setakat hari ini, kefasihan bertutur masih di tahap asas sahaja, cuma kalau mahu sapa orang, itu saya boleh lakukan,” jelasnya.
Terdahulu, Nuha mencuri tumpuan apabila memuat naik video di TikTok memberi bayangan sedang mengenali lelaki bernama Y.
Bagaimanapun, melihat ruangan komen, rata-rata membuat spekulasi individu tersebut merupakan seorang pempengaruh dan model. -UTUSAN