GEORGE TOWN: Setiap kali tibanya sambutan Tahun Baharu Cina, Lee Boon Chye, 71, akan berkunjung ke rumah adik-beradiknya yang tinggal di Seberang Perai untuk menyambut perayaan itu bersama.
Bagaimanapun, Boon Chye yang buta sebelah mata selepas menjadi mangsa pergaduhan dua kumpulan nelayan pada tahun 80-an itu tidak betah untuk tinggal lama di sana.
“Duduk rumah adik-beradik sehari pun rasa macam setahun, asyik teringat mahu pulang ke rumah sahaja.
“Seorang diri di sini (rumah), rasanya lebih tenang lagipun raya ini untuk budak-budak sahaja, saya sudah tua,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Teluk Kumbar, sewaktu dikunjungi kakitangan Penang Infrastructure Corporation (PIC).
Selain bertanya khabar, kunjungan berkenaan turut membawa hamper sebagai buah tangan sempena Tahun Baharu Cina.
Boon Chye yang bekerja sebagai nelayan, sudah lama tidak turun ke laut disebabkan keuzuran.
Bagi Lim Chee Wan, 42, sambutan Tahun Baharu Cina masih meriah sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Peraih udang ini gembira kerana harga makanan laut itu ketika ini meningkat terutamanya semasa sambutan Tahun Baharu Cina semakin hampir.
“Lega sikit bila harga udang RM60 ke RM70 sekilogram, naik RM10 yang biasanya saya simpan untuk majlis makan besar malam raya nanti,” katanya.
Nelayan berbangsa Cina, Toh Soo Tee, 59, berkata sambutan musim perayaan dilakukan secara ala kadar sahaja.
“Anak-anak sudah besar dan ada kehidupan sendiri. Saya pula setia turun ke laut, jadi perayaan disambut sederhana sahaja dan tidak mahu pening-pening,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada PIC kerana menyelesaikan bayaran ex-gratia kepada mereka susulan pembangunan projek Pulau Silikon ketika ini, malah wang diterima digunakan bagi membeli peralatan menangkap udang dan membaiki bot untuk turun ke laut. – UTUSAN