KEHADIRAN lima cahaya mata menjadi penyeri hidup pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan isterinya, Almy Nadia. Ramai sebenarnya yang tumpang gembira melihat kebahagiaan keluarga besar pasangan ini, yang mungkin tidak dimiliki orang lain.
Namun ada betulnya, bukan semua orang senang melihat kebahagiaan orang lain. Keharmonian keluarga besar Fizz dan Almy ada juga kurangnya di mata orang lain. Serba serbi tak kena.
Beranak ramai salah, tak ada anak pun salah. Kurus salah, gemuk pun salah. Almy dan Fizz terpaksa hadap ketidakpuasan hati orang. Tambah pula netizen yang lancang mulut, melontar komen tanpa sedar mereka sebenarnya menyakiti orang lain.
Kali ini Almy berbagi rasa dengan Pancaindera, menjawab segala persoalan untuk memadam kegusaran.
Pada Almy, apa nikmat paling besar yang Tuhan datangkan menerusi anak-anak?
Anak ini pembawa rezeki, setiap cahaya mata didatangkan dengan rezeki berlainan. Perkara itu bukan kita tentukan. Ada pasangan suami isteri yang anggap anak ramai satu beban. Tapi saya nampak rezeki yang Allah turunkan menerusi anak-anak kami.
Suami saya bekerja menyara keluarga, rezeki yang Allah berikan mencurah-curah. Rezeki untuk miliki kereta, rumah dan macam-macam lagi. Hakikatnya, dalam keadaan kesempitan wang sekalipun, susu anak tak pernah putus, tak pernah tak ada wang untuk beli lampin pakai buang, beras di rumah tak pernah kehabisan.
Selepas bergelar ibu kepada lima cahaya mata, adakah Almy merasakan sudah sampai masanya untuk ‘tutup kilang?’
Saya tak berani cakap yang saya sudah tutup kilang. Saya pun tak pernah jangka hidup saya dan suami diserikan dengan lima cahaya mata. Bila kita kata tak mahu anak lagi ibarat mengundang kemarahan Tuhan.
Sebelum ini saya pernah kata, kalau dapat anak lelaki, saya tak akan mengandung lagi. Tidak lama selepas itu saya keguguran, Allah ambil anak saya. Itu satu tamparan kepada saya. Jadi, saya terima setiap rezeki cahaya mata yang Tuhan sudah tentukan. Allah tahu tahap kemampuan kita, kalau saya mampu lagi untuk mengandung dan membesar anak, saya terima.
Membesarkan anak yang ramai bukan tugas mudah. Dari mana datangnya sumber kekuatan Almy?
Suami adalah kekuatan saya. Dia tak pernah lepas tangan, sentiasa bantu uruskan anak-anak. Ada suami culas, basuh berak anak pun tak mahu.
Itu bukan suami saya. Dia lelaki yang mengutamakan keluarga. Ada ketika dia mahu kami berada di sampingnya, ikut dia ke acara dan sebagainya. Saya yang sering mengelak, kerana lebih memilih untuk berada di rumah.
Pandangan orang pelbagai, ada juga dalam kalangan mereka bercakap-cakap tentang berat badan Almy dan meluahkan kerisauan mengenai perkara itu. Pada Almy pula bagaimana?
Saya tak kisah orang nak cakap apa. Adakah mereka yang bagi saya dan keluarga makan? Beli barang kemas saya? Bayar bil telefon saya?
Netizen berhak bercakap apa sahaja, mulut orang kita tak boleh tutup. Kenapa perlu saya berdebat dengan mereka? Yang jelas mereka tidak berada dalam situasi saya. Jadi saya tak ambil peduli pun apa yang mereka tulis di media sosial.
Tentang lakonan pula bagaimana? Ada rasa rindu nak berlakon semula?
Kalau ditanya sekarang, saya tidak rindu pun pada dunia lakonan. Saya pun tak tahu, keinginan itu masih ada atau tidak.
Kalau pun mahu kembali berlakon, biarlah anak-anak besar dahulu. Dan saya tak mahu berlakon dalam fizikal saya sekarang, kalau boleh beri masa untuk saya turunkan berat badan. Tapi sebenarnya suami tak benarkan saya kurus, katanya dia cemburu. Tambah lagi, kalau saya kembali berlakon, siapa pula yang akan uruskan rumah tangga, jaga anak-anak?
Sekarang masyarakat rancak berbahagi pandangan pasal isu penyondol yang meruntuhkan rumah tangga orang. Almy risau dengan keadaan ini?
Saya memang takut, dan saya luahkan pada suami yang bahawasanya saya tak senang hati tengok kejadian sondol menyondol berleluasa sekarang ini. Tambah pula drama televisyen sekarang yang selalu ketengahkan isu curang.
Tapi suami selalu ingatkan yang saya tahu dia macam mana orangnya. Kalau pun dia nak buat perangai, dia harus ingat, anaknya sudah lima orang. Kita manusia biasa, tak tahu jenis ujian apa yang Allah nak bagi kepada kita. Kalau Tuhan nak uji, sekelip mata. Cuma saya harap pengorbanan saya, yang 300 peratus demi keluarga ini tidak disia-siakan.
Sekarang bukan lagi fasa saya nak jejak suami pergi mana, lepak dengan siapa. Suami sendiri sedar dia sudah bekerluarga dan ramai anak. Saya sudah berdamai dengan takdir saya. Selagi tidak, selagi itu saya tak akan tenang. Jalan hidup saya begini. Saya sudah lalui keseronokan zaman muda. Sekarang, takdir saya jadi isteri dan membesarkan keluarga.