KUBANG PASU: Kerajaan Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada Mahkamah Syariah berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka melibatkan pesalah syariah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bidang kuasa dalam menetapkan pelaksanaan hukuman tersebut terletak sepenuhnya kepada badan itu.
“Itu keputusan mahkamah (syariah). Mahkamah akan putuskan sebat, rotan atau rejam, semua mahkamah. Kita tidak boleh campur urusan mahkamah.
“Saya pun tidak boleh campur. Ada pemisahan kuasa mahkamah, kehakiman dan saya selaku eksekutif,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa negeri di bawah Pas perlu membuat kesediaan ke arah melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah sebagaimana dilakukan oleh kerajaan Terengganu.
Hashim berkata, hukuman sebat secara terbuka itu dilihat hanya permulaan dan mengikut perintah wahyu dalam melaksanakan undang-undang Islam itu agar memperoleh keberkatan.
Kelmarin, kerajaan Kelantan turut menyatakan hasrat untuk mengikut jejak Terengganu dalam melaksanakan hukuman sebat terbuka itu dengan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang bertepatan.
Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri tidak boleh bertindak mendahului Mahkamah Syariah dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Ada tempat-tempat (negeri-negeri) yang digazetkan untuk hukuman sebat, jenayah takzir. Mahkamah putuskan di mana dia sebat di situlah. Kita tidak bolehlah mendahului mahkamah,” katanya. – UTUSAN