KUALA LUMPUR: “Saya tak mahu Daddy. Saya tidak sayangkan Daddy lagi.”
Demikian luahan anak kepada pelakon, Fattah Amin, Nur Fatima Aisya menerusi sebuah sesi siaran langsung yang dikendalikan oleh Fazura, baru-baru ini.
Menerusi video yang tular itu, Fatima yang dilihat sugul ketika dikendong ibunya membuat perakuan tersebut selepas Fazura cuba memujuk dan mengenal pasti mengapa anaknya itu menangis.
“Kenapa Fatima menangis siang tadi,” soal Fazura.
Terkejut dengan kenyataan tersebut, video yang tular itu secara tidak langsung mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet di ruangan komen.
Ada sesetengah netizen berpendapat kenyataan tersebut tidak akan terkeluar dari mulut seorang kanak-kanak sekiranya tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
Malah, ada juga netizen yang kurang bersetuju video tersebut dimuat naik memandangkan perkara itu boleh menimbulkan pelbagai isu berbangkit di antara kedua-dua pelakon berkenaan.
“Anak tidak akan cakap begitu kalau tidak diajar,” komen seorang netizen.
“Entahlah sesuatu sangat. Seperti sudah diajar untuk cakap macam itu,” kata seorang lagi netizen.
“Aku rasa tak perlu heret budak itu dalam masalah ini. Budak itu trauma dah. Kenapa nak kena cakap dalam siaran langsung macam itu. Dia mahu buktikan apa?,” kata seorang lagi warganet.
Sejak bercerai, kemelut hubungan Fattah dan Fazura seperti tiada kesudahan apatah lagi ramai warganet cuba mengaitkan isu perceraian itu dengan anak mereka Fatima.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura pernah berkahwin pada 27 November 2017. Namun, pasangan itu memilih untuk bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.-UTUSAN