Saya tidak mahu tandingi arwah Achik - Tomok - Utusan Malaysia

Saya tidak mahu tandingi arwah Achik – Tomok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Nordiana yang mesra dengan panggilan Nana, 40, pada showcase Live Music @ Sea baru-baru ini tidak sekadar mengembalikan, malah mencipta kenangan terindah menerusi persembahan lagu-lagu bertaraf fenomena yang sebelum ini dipopularkannya bersama Allahyarham Abdillah Murad Md. Shari atau Achik Spin.

Namun, kali ini, menerusi showcase yang dipentaskan dalam kapal persiaran Genting Dreams, magis tersebut dicipta bersama penyanyi Tomok yang menyahut cabaran menyanyikan lagu Paling Comel, Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih pada showcase berkenaan.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 41, mengakui lagu-lagu tersebut mempunyai peminat yang cukup ramai dan bertaraf ikonik. 

Namun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak pernah mahu menandingi magis yang disulam arwah Achik bersama Nana lebih dua dekad yang lalu meskipun dia sedar pasti ada pihak yang akan membanding-bandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal.

“Saya amat menghormati karya Nana dan Achik dan bagi saya lagu-lagu yang mereka rakam bersama sebelum ini bertaraf ikonik serta membawa pengaruh yang cukup besar kepada peminat. 

“Dan saya juga sedar kehebatan lagu ini. Disebabkan itu saya tidak pernah mahu menandingi magis yang dicipta Nana dengan Achik sebelum ini kerana ia tidak mungkin berlaku.

“Tapi saya ada cara sendiri membawakannya, apa yang saya mampu lakukan adalah tonjolkan pembawakan Tomok menerusinya dan mengikut kemampuan saya.

“Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya bawa lagu ini lebih baik daripada arwah dan saya juga tidak mahu menandingi beliau,” kata Tomok pada sidang media selepas showcase berkenaan. 

Live Music @ Sea yang dipentaskan dalam dengan terkemuka Silk Road pertama kali mengundang Nana dan Tomok selepas penyanyi bertaraf legenda, Ziana Zain membuat persembahan di pentas yang sama dua tahun lepas.

Nana memikat hati 600 penonton bukan sahaja menerusi lagu duet, malah lagu hitsnya seperti Benang Emas, Angkara, Terus Mencintai dan banyak lagi.

Sementara itu Tomok menghadiahkan persembahan bertenaga menerusi lagu Rock Star Junior, Sejarah Mungkin Berulang, Apa Dah Jadi yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri Datuk SM Salim serta Bahalol dan C.I.N.T.A (XPDC).

Mengulas mengenai duet bersama Tomok, Nana memaklumkan dia berbesar hati atas kesudian anggota kumpulan New Boyz itu menyanyikan lagu popularnya bersama Achik.

“Achik ada aura tersendiri, bagi saya tiada siapa yang boleh menggantikan tempat arwah.

“Namun saya berbesar hati kerana Tomok sudi menyanyikan lagu-lagu duet saya dengan Achik dalam showcase ini. 

“Persembahan ini adalah usaha untuk kesinambungan lagu-lagu duet saya dengan Allahyarham. Tidak ada kemahuan untuk membanding-bandingkan dengan penyanyi asal,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN