Saya tidak lupa daratan - Tracie Sinidol - Utusan Malaysia

Saya tidak lupa daratan – Tracie Sinidol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Menjadi anak perantau sememangnya tidak mudah bagi setiap individu apatah lagi perlu menyesuaikan diri apabila pertama kali menetap di tempat orang demi mengejar impian dan cita-cita.

Di saat nama dan populariti diri sedang meningkat naik di Semenanjung, pelakon dan model kelahiran negeri Sabah, Tracie Sinidol mengakui terkejut apabila dianggap semakin lupa diri.

Mana tidaknya, melihat kejayaannya kini membintangi beberapa drama serta semakin fasih berbahasa Semenanjung membuatkan ada pihak yang mungkin cemburu atau kurang senang dengan pencapaiannya.

Menurut pelakon yang berusia 23 tahun itu, dia masih ingat asal usulnya dari negeri di bawah bayu itu dan menepis tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya lupa daratan.

“Mungkin bagi mereka saya sudah lupa daratan kerana kerap bercakap bahasa Semenanjung, tetapi tidak. Sejujurnya, saya terkejut ada yang berpendapat seperti itu. Saya masih ingat asal usul saya berasal dari Sabah,” katanya.

Tidak melatah dan kekal tenang, Tracie menjelaskan perubahan cara pertuturannya dalam bahasa Semenanjung hanya sekadar memenuhi keperluan watak agar lebih mudah difahami penonton.

Kata Sumandak Sabah itu, dia juga sering mengalami masalah dan masih belajar untuk membiasakan diri bertutur dalam bahasa Semenanjung dengan betul memandangkan dialeknya masih pekat.

“Saya hanya menyelami watak yang saya lakonkan sahaja. Kebanyakan watak yang saya lakonkan sebagai seorang yang berasal dari Kuala Lumpur. Saya mahu orang faham dialog saya ketika melakonkan sesebuah watak supaya tidak ada yang salah faham. 

“Kalau saya bercakap dalam bahasa Sabah, berkemungkinan tidak ramai yang akan memahaminya. Jadi, saya rasa ada jurang dari segi bahasa di situ. 

“Saya juga perlu memenuhi keperluan skrip supaya tidak lari karakternya. Saya harap orang ramai faham bahawa kerjaya saya sebagai pelakon hanya menjayakan watak sahaja. Saya tidak lupa diri. Sabah tetap di hati,” jelasnya. 

MAHU DIKENALI DENGAN IDENTITI SENDIRI

Dalam pada itu, Tracie mengakui penglibatannya dalam industri seni tanah air sedikit sebanyak berpunca daripada rupa parasnya yang persis aktres jelita, Mira Filzah.

Tuah tersebut secara tidak langsung membuatkan dirinya lebih dikenali dan diterima oleh peminat industri seni hiburan tanah air.

Namun, juara Dewi Remaja edisi 2021/2022 itu juga sempat meluahkan rasa bahawa dirinya mahu dikenali dengan identitinya sendiri dan tidak mahu terus dibayangi aktres jelita itu. 

“Tidak dinafikan sewaktu wajah saya disamakan dengan Mira Filzah dan tular, saya rasa teruja. Memang selepas itu saya lebih dikenali. 

“Tetapi, saya sedang mencari identiti nama saya sendiri. Saya mahu orang kenali diri saya dan bakat yang saya miliki. Bukan dari rupa paras. 

“Saya tidak penat apabila terus dibayangi identiti Mira Filzah. Tetapi soalan itu sering diajukan dan tiada orang pun yang bertanya atau ingin tahu tentang diri saya. Cuba tanya tentang saya pula,” katanya.

Kini, Tracie dan Mira telah membintangi sebuah drama bersiri terbitan Viu, Gadis Masa yang memerlukan mereka membawa watak yang sama sebagai Maya. 

Meskipun mempunyai wajah yang sama, Tracie mengakui personalitinya tetap berbeza daripada Mira memandangkan dirinya sukar untuk meniru cara pertuturan mahupun ekpresi muka pelakon itu. 

“Ketika saya berlakon dengan Mira Filzah, saya selalu perhatikan cara dia melontarkan dialog. Cara dia sebut setiap perkataan supaya tidak lari kerana watak yang kami jayakan adalah sama. Saya melakonkan wataknya ketika muda.

“Dari ekspresi wajahnya juga saya perlu belajar agar nampak sama. Dari segi bahasa, saya juga belajar cara menyebut dialog tersebut dengan betul bersama krew dan kawan saya. Saya akan berlatih banyak kali,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya