PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau telah membelanjakan jutaan ringgit duit haram yang dikatakan diseleweng daripada dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat itu di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Ahmad Akram: Setiap keputusan yang Datuk Seri buat adalah demi kebaikan dan bukannya untuk kepentingan negara.
Najib: Tak setuju.
Ahmad Akram: Saya katakan, wang yang masuk ke dalam akaun adalah wang suapan yang berasal dari wang yang diseleweng dari 1MDB sebagaimana yang dipertuduhkan terhadap Datuk Seri.
Najib: Tidak setuju.
Ahmad Akram: Wang-wang (yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadi Najib) tidak akan diperoleh kecuali dengan tindakan yang dilakukan oleh Datuk Seri.
Najib: Tidak setuju.
Ahmad Akram: Saya katakan segala wang yang Datuk Seri belanjakan, tidak kira atas tujuan apa sekali pun adalah wang hasil aktiviti haram.
Najib: Saya tak belanja wang haram.
Selain itu, Najib menafikan beliau melindungi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ahmad Akram: Setuju saya katakan, sejak 2009 sehingga 2016, terdapat banyak `tanda amaran’ berhubung salah laku Jho Low termasuk daripada bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan.
Najib: Saya tidak melindungi dia.
Ahmad Akram: Pada sidang parlimen bertarikh 23 Mac 2015, Datuk Seri telah ditanya secara lisan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr. Tan Kee Kwong yang bertanya sama ada Jho Low mempunyai urusniaga atau kaitan dengan 1MDB dan Datuk Seri jawab Jho Low tidak ada kena-mengena dengan 1MDB dan beritahu setiap keputusan dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Saya katakan Datuk Seri menjawab demikian untuk melindungi Jho Low.
Najib: Saya tidak pernah halang siasatan 1MDB.
Ahmad Akram: Datuk Seri, soalan saya ialah, Datuk Seri tidak memberikan jawapan yang tepat kerana ingin melindungi Jho Low.
Najib: Tidak, tidak betul.
Terdahulu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Najib masih menyatakan 1MDB masih membawa keuntungan kepada negara.
Walaupun telah dimaklumkan oleh beberapa individu termasuk bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan beban hutang syarikat itu berjumlah RM48.571 bilion (pada Mei 2015) yang akan menjejaskan negara, Najib masih menegaskan 1MDB masih mempunyai manfaat kepada negara.
“Negara ada aset banyak. 1MDB juga ada aset yang banyak. Ia (1MDB) tetap memberikan keuntungan kepada negara walaupun berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya,”kata Najib.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN