KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 32, mengakui kesal dengan tindakan dua pembantu rumahnya yang telah melarikan diri dipercayai pada 4 Januari lalu.
Menurut Uyaina, dia mula menyedari pembantu rumahnya ‘ghaib’ selepas mendapati anak keduanya, Raja Urayyan yang berusia 7 bulan menangis dengan kuat berseorangan di tingkat bawah di kediamannya yang terletak Sepang pada hari kejadian.
“Ketika kejadian, saya dan suami ada di rumah namun kami berada di tingkat atas kediaman kerana sedang bersiap untuk keluar pada waktu tengahari. Anak sulung juga ada bersama kami di tingkat atas.
“Saya minta dua pembantu itu untuk menyiapkan Urayyan namun tiba-tiba kedengaran anak saya menangis tak henti-henti. Saya panggil mereka namun tiada sahutan jawapan menyebabkan saya segera turun ke bawah untuk tengok keadaan anak.
“Alangkah terkejutnya saya bila diperiksa setiap penjuru rumah, kedua-dua pembantu sudah ‘ghaib’, pintu rumah juga terbuka luas dan tidak dikunci. Mereka tinggalkan anak kecil saya begitu sahaja di situ, itu menyebabkan saya sangat sedih dan kesal,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Berikutan itu, kata Uyaina, dia telah membuat laporan polis semalam di balai berdekatan bagi tujuan pembatalan permit mereka.
“Mereka cabut lari tanpa membawa bersama pasport masing-masing. Mujurlah tiada barangan berhargai lain yang dicuri kecuali telefon bimbit dan wang pinjaman yang saya berikan kepada salah seorang daripada mereka.
“Saya syak, mereka telah lama berkomplot dengan ejen kerana genap empat bulan bekerja, mereka terus cabut lari. Kejadian yang sama pernah berlaku pada ibu saudara saya sebelum ini dengan modus operandi yang sama.
“Tergamak mereka tinggalkan anak kecil saya begitu sahaja, mana sikap peri kemanusiaan? Setelah segala layanan baik yang saya dan suami berikan dan ini balasan mereka, saya memang tak akan maafkan pengkhianatan ini,”katanya.
Dalam pada itu, Uyaina mengakui serik untuk mengambil mana-mana pembantu rumah baharu kerana bimbang kejadian yang sama berulang lagi terutama dalam memikirkan soal keselamatan anak-anaknya.
Terdahulu, kelmarin, pengacara Wanita Hari Ini dilihat memuat naik satu hantaran gambar di Instagram Story (IGs) sedang memegang pas pelawat di sebuah balai polis namun tiada penerangan lanjut dikongsikannya mengenai perkara itu di media sosial.-UTUSAN