Saya sedia berdepan sebarang risiko - Akmal

Saya sedia berdepan sebarang risiko – Akmal

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sedia berdepan sebarang risiko berikutan tindakannya menghadiri himpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, semalam.

Kata Akmal, tindakan beliau itu atas kapasiti peribadi unatuk memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu dalam mendapatkan keadilan berhubung tambahan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong.

“Saya percaya ramai orang UMNO datang atas kapasiti peribadi, bagaimanapun kita hormat keputusan parti dan sedia menerima apa sahaja risiko.

“Saya percaya apa yang ingin disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah lebih kepada pelanggaran undang-undang kepada sesiapa yang berhimpun. Tetapi kita tidak berhimpun pun kerana yang datang baik di peringkat Bahagian, Cawangan adalah untuk memberi sokongan (kepada Najib),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak menyertai perhimpunan solidariti terhadap Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mana-mana pemimpin dan ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.

Mengenai keputusan rayuan Najib, Muhamad Akmal memanjatkan rasa syukur kerana keputusan itu sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Titah Adendum sekadar khabar angin.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa perbicaraan dipulangkan balik ke Mahkamah Tinggi. Apa yang dikatakan adendum itu sebagai khabar angin tidak betul, adendum ini benar-benar wujud.

“Titah Sultan Pahang itu akhirnya mengesahkan afidavit yang difailkan presiden parti, Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan Datuk Mohd. Nizar Najib itu wujud dan bukan sekadar borak kosong. Jadi, biarkan mahkamah menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kelmarin membacakan sebahagian surat daripada Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengesahkan kewujudan perintah tambahan tahanan dalam rumah bagi bekas Perdana Menteri itu.

Surat ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman mewakili Sultan Abdullah dan dihantar kepada anak Najib, Mohd. Nizar.

Surat itu antaranya menyatakan: “Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak Sultan Pahang dengan ini memperakukan bahawa titah adendum termaksud adalah wujud dan sahih.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya