Trofi, anugerah dan pengiktirafan dari acara-acara berprestij adalah suatu penghargaan bermakna bagi setiap penggiat seni industri seni tanah air selepas bertungkus-lumus menghasilkan karya terbaik.
Meskipun tujuan utama mereka untuk menjadi penghibur menerusi karya yang bermutu, merangkul sesebuah anugerah itu juga menjadi tanda aras bagi seseorang selebriti yang mempunyai pencapaian terbaik dalam persada seni.
Namun, berbeza pula perjalanan seni pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad yang mengakui tidak pernah merangkul sebarang trofi mahupun pengiktirafan sepanjang 22 tahun berkarya.
Kata Fahrin, dia tidak pernah menyasarkan untuk merangkul sebarang anugerah mahupun pengiktirafan kerana percaya perkara itu terletak pada rezeki yang telah ditentukan Sang Pencipta.
“Sepanjang 22 tahun dalam industri, saya antara pelakon yang tidak pernah menang anugerah pun, paling tinggi Top 5. Tetapi pada saya itu tidak menjadi masalah kerana akhirnya yang buat saya puas hati apabila saya masih kekal relevan dan terima tawaran.
“Saya berkarya bukanlah untuk mengejar anugerah. Saya tidak terkilan pun. Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pengacara Wanita Hari Ini itu sempat meluahkan rasa kagum dengan kejayaan yang dikecapi aktres Susan Lankester selepas merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33, awal Disember lalu.
Fahrin berpendapat, pencapaian tersebut membuktikan mutu lakonan seseorang pelakon itu lebih terserlah apabila mereka tampil dengan naskhah yang berkualiti.
“Bercakap tentang anugerah, pasti ada sesuatu yang dipertaruhkan oleh penggiat seni. Semuanya bergantung pada masa. Contoh yang paling cantik, Susan, di usianya 62 tahun, baru dia dapat merasa genggam anugerah di FFM33. Dia sendiri tekankan biar masa menentukan.
“Sehebat mana pun kita membawa watak, itu perlu dirangkumkan dengan naskhah, jalan cerita serta produksi yang bagus untuk melayakkan kita bertanding dalam sesuatu anugerah,” jelasnya.
KEMENANGAN ANUGERAH BUKANLAH SEGALANYA
Dalam pada itu, Fahrin menganggap kemenangan anugerah bukanlah segalanya buat dirinya, namun bersyukur dirinya masih relevan dan rezekinya tidak putus sehingga kini.
“Tak bermakna kita tidak bagus kalau tak menang anugerah. Yang penting jujur dengan diri sendiri dan berikan yang terbaik dalam setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
“Saya berterima kasih kerana orang menghargai saya dengan cara itu. Tanpa prejudisnya, saya rasa anugerah itu bukanlah segala-galanya tetapi untuk orang kenang kita.
“Bukan saya seorang sahaja yang belum terima anugerah, ramai lagi yang berbakat belum terimanya. Saya rasa kalau malam anugerah itu diadakan setiap bulan, semua orang boleh menang,” selorohnya.
Kata orang, menaruh harapan yang tinggi mampu membuat seseorang itu jatuh sekiranya impiannya tidak kesampaian.
Enggan dihantui perasaan itu, Fahrin bagaimanapun positif untuk harungi sepak terajang sebagai anak seni dan nekad untuk terus berkarya dengan baik sehingga rezekinya tiba.
“Pada saya, dalam kehidupan ini yang mengecewakan kita adalah ekspektasi. Jadi, saya tidak meletakkan sebarang harapan.
“Saya rasa kalau suatu hari nanti apa sahaja yang baik datang kepada saya, itu adalah bonus. Cukup saya tahu saya sudah berikan yang terbaik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fahrin membintangi sebuah telefilem berjudul Larian Terakhir yang bersiaran menerusi platform Unifi TV.
Selain Fahrin, telemovie arahan Azmi Hata itu turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amyra Rosli, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf.