Satu perkara yang saya sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga’ - Utusan Malaysia

Satu perkara yang saya sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Hanya berserah pada takdir, pelakon dan pengarah, Farid Kamil mengakui dirinya tidak henti-henti berdoa agar diberikan sinar untuk kembali bahagia bersama isteri, Diana Danielle dan anak-anaknya.

Menurut Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 43, doa merupakan senjata terkuat untuknya memohon kepada Sang Pencipta setiap kali rasa rindu terhadap keluarga itu muncul dalam diri.

“Satu perkara yang saya sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga. Percutian bersama keluarga. Itu perkara yang saya rindu. Setiap kali terbit perasaan rindu saya memperbanyak istighfar, insya-Allah hati rasa tenang dalam apa jua keadaan.

“Pada saya, di dalam situasi sekarang tiada senjata, bahan atau warna yang boleh menyampaikan hasrat saya ketika ini melainkan berdoa.

“Saya tidak berhenti berdoa supaya suatu hari nanti keluarga saya kembali berbahagia seperti dulu insya-Allah, itu harapan saya,” katanya.

Tidak berputus asa mempertahankan bahtera yang dibina sejak tahun 2012, Farid turut berusaha memperbaiki diri demi menjadi contoh dan ketua keluarga yang baik.

“Terus terang perhubungan saya dengan isteri dan anak-anak masih sama seperti dulu. Apa yang boleh saya katakan, saya dalam perjalanan untuk memperbaiki diri dan cuba menempuhi masalah dengan reda.

“Walaupun dalam keadaan yang tidak begitu baik, tetapi saya akan tetap berusaha ke arah insan lebih baik,” jelasnya di majlis pelancaran filem Hukum Kifarah di sini.

Filem arahan sutradara Roy itu yang diterbitkan oleh Captain FilmMakers Sdn Bhd bakal memulakan penggambaran Februari depan. Selain Farid, filem yang mengangkat tema buli itu turut menampilkan Neerz Azizi, Syaiful Zero, Yassin Senario dan Datuk Imuda.

Sementara itu, pelakon filem Lagenda Budak Setan itu memberitahu dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk bertemu kedua-dua cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10 namun, masih ada misi yang perlu diselesaikan sebelum berkumpul semula dengan mereka.

“Kali terakhir jumpa anak tahun lalu, sudah lama tak jumpa. Bukan tak boleh jumpa, tiada masalah dan halangan cuma ketika ini saya perlu berjalan seorang diri untuk mendapatkan apa yang dicari.

“Saya dan anak-anak pum memang selalu berhubung menerusi panggilan telefon, cuma kalau berjumpa, tahun ini masih belum lagi,” katanya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Farid dan Diana kembali menjadi sorotan selepas aktres itu memaklumkan dirinya nekad mahu berpisah selepas setahun rujuk.

Namun, Farid enggan melepaskan pelakon itu sebagai isterinya kerana masih sayang akan Diana dan anak-anak.

Kini, Farid dan Diana sedang melalui proses perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan

Kedua-dua pasangan itu bakal dihadapkan kembali di mahkamah yang sama pada 24 Mac depan untuk sebutan semula dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya