ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa menyelesaikan segera kekusutan dialami para petani, berikutan harga lantai belian padi yang hanya bernilai RM1,300 per tan metrik ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, harga RM1,300 itu lebih rendah berbanding modal dikeluarkan petani untuk mengusahakan sawah berikutan peningkatan kos input pertanian.
“Takkan harga belian padi tak naik sedangkan kos untuk input pertanian termasuk benih, racun dan baja semuanya meningkat. Nilai RM1,300 untuk harga padi di bawah modal kerana kos purata untuk menghasilkan padi bagi setiap hektar dianggarkan kira-kira RM1,600.
“Itu pun kena tunggu enam bulan, baru dapat hasil. Bagi saya, tuntutan RM1,800 oleh petani munasabah kerana kadar RM1,300 memang tak balik modal,” katanya pada sidang akhbar majlis penyerahan sumbangan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Katanya, isu harga belian padi itu juga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan mengapa harganya terlalu rendah, sedangkan pengguna sudah terbiasa membeli beras import pada harga mahal.
“Orang dah terbiasa beli 10 kilogram beras pada harga lebih RM40 kerana ketiadaan beras tempatan tetapi kenapa harga belian padi masih RM1,300. Pada musim menuai sebelum ini, boleh pula mereka beli sampai RM1,800. Kenapa boleh pada waktu itu. Adakah kerana nak jual sebagai beras import,” katanya.
Sehubungan itu katanya, menteri terlibat digesa membuat pertimbangan semula termasuk mencadangkan untuk berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi bagi menyelesaikan isu itu.
“Sebelum ini ada orang tanya, Menteri Besar Kedah buat apa dalam isu ini? Ini bukan bidang kuasa saya sebaliknya terletak di bawah kementerian dan disebabkan itu kita minta kementerian bertindak,” katanya. – UTUSAN