JOHOR BAHRU: Hanya kerana upah RM1,000, tujuh remaja sanggup mengambil upah daripada ceti haram atau along bagi melakukan perbuatan khianat termasuk menggunakan api dan membaling cat merah di rumah peminjam wang di sekitar daerah ini.
Namun, tindakan itu membawa padah apabila mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun ditahan dalam lima serbuan berasingan menerusi Op Cantas pada 19 dan 20 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sedemikian yang berlaku di premis perniagaan di Tampoi, di sini pada 18 Disember lalu.
“Serbuan itu dibuat susulan kejadian berkenaan yang dikesan tular dalam platform media sosial pada hari sama, sebelum semua suspek berjaya ditahan. Siasatan awal mendapati kumpulan ini telah aktif sejak November tahun lalu. Mereka mengaku terbabit dalam enam lagi kes khianat dengan api dan simbah cat di Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri.
“Ahli kumpulan ini dipercayai menerima upah antara RM500 hingga RM1,000 bagi melakukan kerja-kerja khianat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar berkata, pihaknya turut merampas kereta Proton Saga, dua motosikal, tujuh telefon bimbit, pakaian, empat topi keledar dan satu tin cat berwarna merah bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan pertuduhan telah dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini terhadap tiga suspek, manakala suspek lain dijadikan saksi,” katanya. – UTUSAN