REMBAU: Tahun baharu yang disambut empat sekeluarga di Port Dickson baru-baru ini menjadi kenangan terakhir buat dua beradik apabila ibu bapa mereka maut dalam nahas tiga buah kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di Bukit Putus menghala ke Seremban, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Zainora Zainal, 50, yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan, maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Muzaffa Othman, 52, yang memandu kereta jenis Perodua Axia itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Menurut anak sulung, Nur Alyamyzara Muzaffa, 19, ketika kejadian, kedua ibu bapanya itu serta adiknya, Nur Adiya Fariha, 15, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Cempaka, Senawang di Seremban selepas menghantar dirinya pulang ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan di Gentam, Kuala Pilah.
“Ayah dan ibu seperti biasa hantar saya ke kolej selepas cuti dua minggu, mereka sempat nasihatkan saya untuk rajin belajar dan tidak terlalu kerap pulang ke rumah.
“Memang tidak sangka mereka terbabit kemalangan, saya hanya tahu selepas dimaklumkan tentang kejadian oleh kakak saudara cuma pada waktu itu saya tidak tahu keadaan sebenar mereka.
“Sehinggalah rakan sekolej menunjukkan video kemalangan dalam telefon bimbit. Saya kemudian dijemput bapa saudara kira-kira pukul 9 malam untuk ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Ujar pelajar tahap dua jurusan Diploma Kulineri itu, adiknya kini masih dalam keadaan separuh sedar dan ditahan di wad HTJS kerana mengalami kecederaan parah di hidung, belakang badan dan muka.
“Sambutan tahun baharu lalu adalah selepas sekian lama kami tidak dapat berbuat demikian kerana bapa sering terpaksa bekerja, memang itu kenangan terakhir buat kami,” katanya yang turut memberitahu jenazah kedua ibu bapanya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Felda Jelai 1 di Tampin selepas selesai proses bedah siasat
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Proton Exora, Perodua Kancil serta Perodua Axia.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun sedang bergerak dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.
“Apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai pemandu kereta telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Perodua Kancil dan juga kereta jenis Perodua Axia. Pemandu kereta jenis Proton Exora yang ketika itu memandu seorang diri mengalami kecederaan parah patah di kedua-dua belah kaki,” katanya. – UTUSAN