Saman fitnah Anwar - Awang Solahuddin dijadual semula ke 2026

Saman fitnah Anwar – Awang Solahuddin dijadual semula ke 2026

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang sepatutnya bermula bulan ini dijadualkan semula ke tahun hadapan.

Peguam mewakili Ahli Parlimen Tambun itu, Datuk Sankara Nair ketika memaklumkan perkara itu kepada media menyatakan, penjadualan semula itu adalah berikutan Anwar dijadualkan melakukan perjalanan ke luar negara bagi urusan rasmi.

Sehubungan itu, perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan bermula pada 20 Januari ini ditangguhkan ke 26 Oktober 2026.

Sankara turut memaklumkan, Anwar akan menjadi saksi tunggal plaintif pada perbicaraan itu.

Sementara itu, peguam, Mohd. Faizi Che Abu mewakili Awang Solahuddin, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan defendan akan mengemukakan tiga saksi dalam perbicaraan berkenaan.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.

Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.

Awang dilaporkan membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya