SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terbuka dengan cadangan dan syor meningkatkan nilai denda bagi pihak yang didapati menyalahgunakan sijil halal.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan isu pelanggaran halal seumpama itu merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani sewajarnya.
Jelas beliau, sebarang tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah bertujuan memberi kesedaran, meningkatkan pematuhan dan langkah pencegahan.
“KPDN justeru mengambil pendekatan terbuka jika ada sebarang cadangan yang konstruktif untuk mengkaji dan membuat pertimbangan dalam menangani isu itu.
“Kami komited bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri mengenai perkara berkenaan,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Jakim dan KPDN disaran mengkaji semula keperluan untuk meningkatkan nilai denda kesalahan tersebut.
Timbalan Mufti Wilayah, Jamali Mohd. Adnan memakluman perkara itu penting bagi memastikan tiada lagi pihak cuba memperdayakan masyarakat dengan cara memalsukan sijil halal.
Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal berdepan denda maksimum RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Bagi bukan pertubuhan perbadanan, penalti tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan berikutnya tidak lebih RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Baru-baru ini, Jakim mengesahkan sandwic ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki sijil halal pihaknya.
Mengulas lanjut, kata Armizan, undang-undang semasa berkaitan halal mempunyai dua peraturan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
“Berdasarkan peraturan Perihal dagangan berkaitan penandaan dan perakuan halal, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM200,000 bagi syarikat manakala individu atau perseorangan sehingga RM100,000 dan penjara setahun.
“Bagi Perihal Dagangan (Takrif Halal), pihak yang melakukan representasi mengelirukan umat Islam dalam konteks halal boleh didenda RM5 juta manakala individu sebanyak RM1 juta dengan penjara tiga tahun,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara itu menunjukkan bahawa penguatkuasaan undang-undang itu sudah tinggi dan diharap menjadi pencegahan kepada semua pihak.-UTUSAN