Saksi ralat tidak dekati lebih awal kereta dua beranak maut

Saksi ralat tidak dekati lebih awal kereta dua beranak maut

AHMAD menunjukkan lokasi tempat kereta BMW dinaiki mangsa dan anak perempuannya berhenti berhadapan sekolah di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang saksi kejadian ralat kerana tidak cuba mendekati dan melihat sendiri keadaan pemandu serta penumpang kereta BMW lebih awal sebelum mengetahui dua beranak maut dalam kenderaan itu, kelmarin.

Saksi yang juga pengawal keselamatan di sekolah berhampiran yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu pelik kerana setiap hari ada sahaja kereta berhenti di tepi jalan hadapan sekolah di Bandar Baru Uda (BBU) di sini.

Katanya, dia menyedari kehadiran kenderaan mewah itu sekitar pukul 2 petang dan tidak bergerak dalam keadaan enjin masih hidup sehingga tamat syif kerjanya.

“Jadi apabila kereta BMW itu berhenti di kawasan tersebut, saya memang tidak syak apa-apa cuma terdengar bunyi deruman enjin beberapa kali apabila pedal minyak ditekan. Saya hanya tengok dari jauh sahaja tetapi tidak nampak apa-apa kerana cermin kereta gelap.

“Sehingga 7 malam, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu, tetapi enjin kereta masih hidup. Saya terkejut apabila rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia dalam kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Semalam, akhbar melaporkan seorang ibu ditemukan meninggal dunia bersama anak perempuannya dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di hadapan sekolah tersebut.

Difahamkan, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira 3 petang semalam, selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya masih menunggu siasatan makmal dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai. Polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat di talian 075563122 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Helmy Halim di talian 0125759953,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya