TENOM: Saksi ke-14 tidak bersetuju dengan cadangan soalan peguam bahawa analisis ke atas telefon bimbit tidak menemukan sebarang implikasi seksual antara tertuduh dan pengadu berdasarkan barang kes yang dikemukakan kepada Cybersecurity Malaysia.
Saksi yang merupakan bekas Juruanalisis Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin, 33, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bersetuju kerana penemuan yang dilakukan adalah berdasarkan objektif kes yang disenaraikan dalam borang permintaan perkhidmatan (SRF) yang dikemukakan pegawai penyiasat.
Itu keterangan saksi semasa menjawab soalan yang dikemukakan peguam bela, Datuk Ram Singh semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, hari ini.
Terdahulu peguam bertanya adakah saksi bersetuju dalam laporan analisis yang sebahagiannya positif tidak menunjukkan sebarang kaitan implikasi seksual antara tertuduh dan pihak lain (pengadu) berdasarkan barang kes yang dikemukakan kepada Cybersecurity Malaysia.
Saksi juga memberitahu bahawa berdasarkan analisis yang dilakukan tidak menemukan sebarang data berkaitan objektif satu iaitu data daripada akaun instagram dalam barang kes iaitu telefon bimbit HP01, kad sim daripada HP01 dan memori kad HP02.
Berdasarkan rekod, barang kes HP01 adalah Samsung Galaxy Note 20 yang dimiliki oleh Ebit manakala, HP02 adalah Samsung Galaxy A31 milik pengadu.
Malah, tiada penemuan berkaitan mesej perbualan menerusi aplikasi Whatsapp yang ditemukan dalam telefon bimbit dan sim kad HP01 dan memori kad HP02.
Saksi memberitahu penemuan dalam laporan analisis yang dikemukakannya adalah berdasarkan permintaan yang dibuat oleh pegawai penyiasat.
Katanya lagi, laporan analisis menyatakan terdapat objektif kes yang ditetapkan oleh pegawai penyiasat yang tidak dapat dipenuhi.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,39, berdepan berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah manakala, Ebit diwakili peguam Ram dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.-UTUSAN