PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Jaatan Penjara tidak pernah menerima sebarang arahan berhubung tahanan dalam rumah untuk Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap pada sidang akhbar khas di sini hari ini, beliau menunjukkan salinan perintah Lembaga Pengampunan diterima kementerian tersebut pada 2 Februari 2024.
Ia susulan hasil mesyuarat lembaga tersebut pada 29 Januari 2024 lalu dan dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Shah.
“Perintah yang diberikan kepada kami khususnya Jabatan Penjara hanya pengurangan tempoh pemenjaraan dan bayaran denda, tiada pula disebut tahanan dalam rumah,” jelasnya.
Beliau mengulas keputusan mahkamah menyatakan kewujudan titah adendum diakui Istana Pahang mengenai hukuman tahanan dalam rumah kepada Najib yang adalah sah.
Salinan berkenaan tular diperkatakan ramai pemimpin politik dan peserta perhimpunan solidariti bekas Presiden UMNO itu sepanjang perbicaraan tersebut di Istana Kehakiman.
Menjelaskan lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tidak timbul langsung isu konon pihak kementerian tersebut seperti sengaja bertindak menyembunyikan adendum berkenaan.
“Justeru selain dua bentuk hukuman disebut ini, kami tidak terima pun dan memang tidak boleh dilaksanakan,” tegasnya menepis persepsi dakwaan tidak akur perintah diraja.
Ditanya apakah kementerian boleh melaksanakan perintah tahanan dalam rumah, beliau berkata, jawapannya tentu tidak boleh kerana ia jelas melanggar arahan yang ditetapkan.
Beliau juga memaklumkan bahawa minit mesyuarat lembaga itu ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaleha Ismail sebagai saksi.
Ia mengandungi segala perbincangan dan keputusan yang tidak boleh dikongsi kepada umum dan dicatatkan begitu terperinci sebelum dihantar kepada kementeriannya pula.
Rekod itu ujar Saifuddin Nasution, ditandatatangani Timbalan Ketua Pengarah Dasar (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) Jabatan Perdana Menteri, Dr. Punitha Silivarajoo. – UTUSAN