MUMBAI: Pelakon, Saif Ali Khan, selamat dibedah oleh pakar di Hospital Lilavati, India selepas ditikam enam kali dalam kejadian pecah masuk rumahnya, semalam.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Hospital Lilavati, Dr. Niraj Uttamani, pelakon itu terlepas daripada maut apabila tikaman tersebut tidak mengenai tulang belakang yang boleh mengakibatkan kesan lebih parah.
“Tikaman tersebut hanya satu milimeter sahaja daripada tulang belakang Saif.
“Jika cedera lebih dalam, ia akan mengakibatkan kebocoran cairan tulang belakang seterusnya meletakkan nyawa pelakon itu dalam keadaan yang lebih berisiko,” ujarnya yang berjaya mengeluarkan lebihan pisau sepanjang 2.5 inci daripada badan pelakon itu.
Bagaimanapun, keadaan Saif dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad pemulihan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa telah mengesan penjenayah tersebut melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut mereka, penjenayah disyaki mempunyai kaitan dengan pekerja kepada pelakon Dil Chahta Hai tersebut. Oleh itu, polis telah menahan pekerja tersebut untuk membantu siasatan.
Terdahulu, seorang perompak memecah masuk rumah Saif Khan dan mengugut pembantu rumah berusia 54 tahun yang ketika itu bersama anaknya, Taimur Ali, 8, Khan dan Jeh Ali Khan, 4.
Mendengar jeritan, Saif bergegas ke bilik tersebut sebelum berlaku pergelutan menyebabkannya ditikam sebanyak enam kali.
Menurut laporan media tempatan, ketika kejadian, isterinya Kareena Kapoor tidak berada di rumah kerana bertemu kakaknya, Karisma dan aktres Sonam Kapoor. -UTUSAN