Sabah tidak akan laksana sebat di khalayak - Exco

Sabah tidak akan laksana sebat di khalayak – Exco

MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, tindakan itu bagi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah, di mana toleransi dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni.

Beliau berkata, kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar bahawa Sabah menyokong pelaksanaan sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini, adalah pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan ‘takzir’, iaitu hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.

“Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan takzir sebatan secara terbuka di khalayak ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Sabah berpegang kepada prinsip ‘Fiqh Sabah’ yang juga diperkenalkan oleh Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat; serta menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Mohd. Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kerajaan negeri berharap isu itu tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan mana-mana pihak sehingga menimbulkan suasana kurang harmoni.

Pada Khamis lalu, Bungsu@Aziz dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan sebat di khalayak ramai yang dilakukan di Terengganu dengan alasan jika dilaksana secara sembunyi, orang tidak tahu dan ia tidak akan menjadi pengajaran.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak boleh ditularkan, tidak boleh rakam video dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya