KOTA KINABALU: Sabah akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Yang Dipertua Negeri adalah payung kepada seluruh rakyat dan simbol kedaulatan negeri Sabah.
Justeru, seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini harus saling bekerjasama dan berganding bahu untuk memacukan pembangunan negeri Sabah.
“Sesungguhnya, Yang Dipertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Justeru, institusi Yang Dipertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selama-lamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah jawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus akan meneruskan momentum bagi mencapai prestasi yang lebih cemerlang.
“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun.
“Aspek keselamatan dan ketenteraman awam, akan terus diutamakan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11. – UTUSAN