Sabah sasaran lokasi transit sindiket pengedaran dadah

Sabah sasaran lokasi transit sindiket pengedaran dadah

KHAW Kok Chin (tengah) semasa sidang akhbar di Briged Sabah PGA, Kinarut Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kedudukan Sabah yang dikelilingi pulau-pulau dan amat hampir dengan negara-negara jiran menyebabkan negeri ini menjadi sasaran lokasi transit sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, permintaan yang tinggi dengan harga sekilogram dadah jenis syabu boleh mencecah RM450,000 di negara jiran mendorong sindiket cuba membawa masuk dadah melalui Sabah ke negara jiran.

Beliau berkata, sebenarnya negeri-negeri di Malaysia ini hanya sebagai lokasi transit, bukan pengeluar dan begitu juga Sabah yang sering dijadikan pusat transit sindiket pengedaran dadah.

“Kalau kita lihat di Malaysia, sekilogram syabu dianggarkan RM33,000 hingga RM35,000, tetapi, apabila pergi ke negara jiran, ia boleh meningkat sehingga RM450,000 sebab permintaan yang tinggi.

“Dengan harga yang begitu lumayan jadi kebanyakan sindiket-sindiket akan cuba melalui sini dan membawanya ke negara seberang melalui jalan laut. Tapi, ada juga untuk keperluan pasaran tempatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JSJN bersama Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di PGA Kinarut, hari ini.

Khaw Kok berkata, disebabkan lokasi yang strategik berada dalam sempadan segitiga antara Malaysia, Filipina dan Indonesia menyebabkan sindiket lebih berminat untuk beroperasi di Sabah untuk membawa dadah ke seberang.

Dalam konteks Malaysia, dadah dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier melalui laut atau udara dari Semenanjung Malaysia dan kemudian dari Sabah dihantar ke negara jiran.

Justeru katanya, tindakan-tindakan sedang dirancang bagi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Sabah.

Kata beliau, lokasi panas di kawasan pulau-pulau yang menjadi laluan sindiket-sindiket juga telah dikenal pasti dan perancangan sedang dilakukan bersama agensi lain termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) dalam penggunaan drone.

Walau bagaimanapun, perancangan secara terperinci tidak boleh disebutkan kerana dikhuatiri akan membolehkan sindiket mengelak daripada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa.

Setakat ini, kawasan hotspot yang dikenal pasti kebanyakan di pulau-pulau yang berada di sekitar Tawau, Sandakan dan Semporna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya