KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini dalam usaha memperkukuh profesion itu di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya bersama pasukan telah mengadakan perbincangan baru-baru ini bagi memperhalusi kandungan RUU tersebut sebelum ia dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada Februari ini.
“RUU ini sebenarnya telah dibincangkan sebelum ini. Malah, semalam KSU bersama pasukan telah meneliti beberapa perkara berkaitan.
“Ini kerana skop kerja sosial sangat luas dan melibatkan banyak kementerian lain. Oleh itu, kita telah menetapkan beberapa penambahan dalam kandungan RUU tersebut untuk memperkukuhkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini hari ini.
Kementerian sebelum ini bercadang untuk membentangkan RUU itu pada akhir tahun lalu, namun pelaksanaan memerlukan perincian lanjut bagi memastikan keberkesanannya selepas diluluskan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya menyasarkan RUU itu dapat dibentangkan pada Julai ini bagi mengelakkan ia dipulangkan semula untuk pindaan.
“Beberapa isu yang pernah dibangkitkan oleh Peguam Negara sebelum ini juga telah diambil perhatian oleh pasukan baru kami. Oleh itu, kita berusaha untuk menyelesaikan segala kekangan secepat mungkin,” katanya.
Nancy berkata, penggubalan RUU ini penting dalam memperkasakan profesion kerja sosial di Malaysia terutama dalam meningkatkan bilangan dan keupayaan pekerja sosial yang mampu menangani isu-isu sosial yang semakin kompleks.
“RUU ini melibatkan kerjasama pelbagai kementerian kerana bidang kerja sosial menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
“Ini langkah strategik kerajaan untuk memastikan profesion kerja sosial diiktiraf dengan lebih baik dan memberikan impak positif kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya. – UTUSAN