Rumah Selangorku Morib 'sakit', pemaju ditukar?

Rumah Selangorku Morib ‘sakit’, pemaju ditukar?

DUA projek Rumah Selangorku di Morib masih gagal disiapkan menyebabkan lebih 500 pembeli belum dapat menduduki rumah tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor dan pemaju pada Khamis ini bagi menentukan status mereka sama ada akan meneruskan projek Rumah Selangorku di Morib atau membuat pelantikan baharu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pertemuan tersebut bagi melihat kesediaan pemaju untuk menyiapkan projek yang kini dianggap ‘sakit’ kerana gagal disiapkan mengikut tarikh ditetapkan.

“Saya sudah panggil semua sekali, pemaju, pemilik tanah, wakil rakyat, penyelaras dan wakil pihak pembeli serta agensi kerajaan.

“Kita selaraskan dan hendak selesaikan masalah itu, ia masih lagi belum dianggap terbengkalai cuma dianggap projek sakit, satu jaminan kepada pembeli-pembeli bahawa projek itu akan diteruskan dan kita tidak anggap terbengkalai,” katanya ketika ditemui semalam.

Rumah Selangorku Morib yang melibatkan dua jenis perumahan itu tidak dianggap terbengkalai dan beliau menjangkakan ia dapat diselesaikan pada tahun ini terutama bagi rumah bertanah (Landed).

“Bagi rumah bertanah ia sudah 90 peratus siap, hanya sedikit infrastruktur belum lagi (siap) termasuk utiliti, cuma rumah apartmen akan mengambil masa,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri meneruskan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelesaikan isu projek Rumah Selangorku dekat Kampung Tali Air, Morib di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan positif antara kedua-dua pihak berlaku, namun perinciannya belum dimuktamadkan.

Dua projek Rumah Selangorku itu masih gagal disiapkan menyebabkan lebih 500 pembeli belum dapat menduduki rumah tersebut walaupun ansuran bulanannya sudah dibayar lebih dua tahun lalu.

Malah, projek yang didakwa sepatutnya siap sekitar 2020 dan 2022 itu tiada tanda-tanda kerja pembinaan diteruskan selepas beberapa kali aduan dibuat kepada wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya