KOTA BHARU: Kelewatan menyiapkan projek tebatan banjir yang merupakan mitigasi utama menangani bencana itu di negeri ini mengakibatkan kerugian besar ditanggung penduduk dan kerajaan ekoran kemusnahan harta, infrastruktur dan hasil pertanian.
Kerugian akibat banjir yang melanda Kelantan bermula hujung November tahun lalu mencecah lebih RM300 juta dengan kerosakan melibatkan infrastruktur sahaja lebih RM80 juta manakala sektor pertanian pula dianggarkan melebihi RM30 juta.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, kelewatan kerja-kerja mitigasi itu meningkatkan impak bencana itu yang berlaku saban tahun.
Katanya, ia sekali gus menyaksikan rakyat terpaksa menanggung keperitan selain kerajaan berdepan kerugian mencecah berbilion ringgit bagi membaik pulih infrastruktur dan kehidupan penduduk.
Ujarnya, kerajaan negeri telah menyegerakan proses pengambilan balik tanah untuk lima projek baharu tebatan banjir bernilai RM910.52 juta yang dimulakan awal tahun ini.
“Projek ini melibatkan pembinaan benteng, kolam takungan dan peningkatan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir tahunan yang menjejaskan negeri ini.
Pelaksanaan projek ini perlu pemantauan rapi, tanpa ada kelewatan dan dipastikan berjalan mengikut jadual,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 mengalami kelewatan selama 707 hari dan tarikh siap baharu pada 26 Julai 2026 berbanding asal 14 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia susulan pihak kontraktor memohon lanjutan masa pada November 2023 lalu.
Mohamad Faiz berkata, selain projek tebatan, peningkatan sistem amaran dan pemantauan banjir merupakan sebahagian langkah yang mampu mengurangkan kerugian akibat bencana alam itu.
Katanya, pemasangan siren amaran banjir, tolok arus, kamera web dan pam bergerak di lokasi strategik perlu terus diperluas dari masa ke masa.
“Usaha ini mampu meningkatkan keupayaan pemantauan dan respons terhadap situasi banjir. Selain itu ia membolehkan tindakan segera diambil apabila paras air mencapai tahap bahaya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang profesional teknologis, Hafidz Izzuddin Zamri dari Evo Legacy Marine Sdn. Bhd. melihat projek tebatan merupakan langkah proaktif dalam menghadapi masalah banjir yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
Bagaimanapun, katanya, langkah penambahbaikan perlu dilakukan dengan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur melibatkan peningkatkan sistem perparitan dan saliran secara signifikan untuk mengatasi masalah banjir.
“Pengelolaan kawasan hulu yang lebih baik seperti penghijauan dan konservasi atau pengekalan tanah sangat penting untuk mengurangi risiko banjir.
“Sudah tiba masanya, kerajaan memperkenal dan menguatkuasakan polisi pembangunan bandar serta wilayah bagi memastikan pembangunan tidak dilakukan di kawasan mudah banjir,” katanya.
Hafidz Izzuddin berkata, penelitian dan pengembangan teknologi baharu seperti sistem penyimpanan air bawah tanah mampu menjadi solusi jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir.
Ujarnya, dalam berdepan perubahan cuaca yang ekstrem ketika ini, rujukan data lebih spesifik dan efektif diperlukan dalam membantu membuat penelitian lebih lanjut.
“Ia meliputi impak perubahan iklim terhadap pola hujan di Malaysia serta evaluasi terhadap kerja projek tebatan banjir yang telah dilaksanakan. Penelitian ini melibatkan analisis data hidrologi, tinjauan di lapangan, dan model simulasi,” ujarnya. – UTUSAN