Rugi besar pokok sawit dimusnah gajah

Rugi besar pokok sawit dimusnah gajah

BEBERAPA peneroka menunjukkan pokok kelapa sawit yang dimusnahkan gajah liar di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 di sini, mendakwa mengalami kerugian terkumpul kira-kira RM5 juta sejak dua tahun lalu selepas ladang kelapa sawit mereka dimusnahkan kawanan gajah liar.

Kira-kira lapan ekor daripada tiga kumpulan gajah itu menceroboh dan merosakkan tanaman kelapa sawit menyebabkan jumlah kerugian seorang peneroka dianggarkan mencecah RM50,000.

Seorang peneroka, Wan Mohd. Nusi Wan Yusoff, 65, berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka perlu menanggung kos kerugian pokok, baja dan proses tanam semula kelapa sawit yang dirosakkan gajah.

Katanya, masalah itu belum dapat diatasi sepenuhnya sehingga peneroka di situ terutama di fasa tiga dan empat terus menanggung kerugian setiap tahun.

“Kami harap Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bekerjasama memindahkan kawanan gajah ini bagi mengelak kerugian berterusan kerana boleh dikatakan hampir separuh pendapatan hasil sawit peneroka di kawasan ini terjejas.

“Kami juga bimbang dengan keselamatan nyawa peneroka dan anak peneroka yang ke ladang kelapa sawit sekiranya terserempak dengan gajah berkenaan,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Paloh 1, semalam.

Seorang lagi peneroka, Abd. Hadi Jusoh, 58, pula berkata, lebih 100 daripada 270 peneroka di kawasan itu terutama di ladang sawit fasa tiga dan empat terkesan dengan ancaman haiwan liar itu.

Katanya, setakat ini lebih lima laporan dibuat berkaitan ancaman gajah kepada Perhilitan dan Kesedar namun usaha memindahkan haiwan itu belum dilakukan.

“Gajah liar itu telah merosakkan pokok-pokok kelapa sawit kami untuk mengambil umbutnya. Kami sangat kecewa kerana sudah banyak wang dilabur dan tenaga dicurah selama ini. Kami harap Perhilitan dapat mengatasi masalah ini dengan memindahkan gajah ke kawasan lain,” katanya.

Seorang anak peneroka, Muhammad Hilmi Zahari, 29, yang membantu keluarganya melakukan kerja di ladang memberitahu pernah terserempak dan merakam kelibat gajah dalam jarak kira-kira 50 meter.

Katanya, dianggarkan lapan ekor gajah berada di kawasan ladang itu sejak hampir dua tahun lalu sehingga ada yang sudah beranak-pinak.

“Tiga hari lalu saya melihat gajah berada di kawasan ladang fasa empat dan merosakkan tanaman kelapa sawit.

“Kami berharap usaha memidahkan gajah ini dapat dilakukan segera kerana terpaksa menanggung kos RM18,000 setahun untuk baja sahaja dan belum lagi termasuk kos pengurusan serta mengupah pekerja yang agak tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya