Rondaan berkala di dua lokasi ‘hotspot’ kemalangan lebuh raya

Rondaan berkala di dua lokasi ‘hotspot’ kemalangan lebuh raya

MOHAMED FAIZ MUIN Mohamed Rasidi ketika sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan dan Ops Raya Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan), hari ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan akan melaksanakan rondaan berkala di dua lokasi ‘hotspot’ kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan bagi memastikan respons pantas dapat digerakkan membantu mangsa.

Penolong Pengarah (Bahagian Keselamatan Kebakaran), Penguasa Kanan Bomba II, Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi yang mewakili Pengarah JBPM Negeri Sembilan berkata, lokasi membabitkan kedua-dua arah berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan kejadian angin lintang.

“Untuk makluman ada dua kawasan yang memang dikatakan kawasan ‘hotspot’ iaitu bermula dari sempadan Melaka/ Negeri Sembilan iaitu kilometer 222 sehingga ke Hentian Sebelah Senawang.

“Keduanya, kawasan Kilometer 267 iaitu dari Bandar Ainsdale hinggalah berhampiran Bandar Sri Putra. Faktor biasa angin lintang dan kecuaian berikutan kawasan tiada Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari segi pemanduan.

“Tindakan kita adalah dengan atur gerak Unit Bermotor Bomba (RIM) untuk memberikan respons lebih cepat ke lokasi kemalangan, selain berjaga-jaga di lokasi Tol Pedas sepanjang ops ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Program Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan dan Ops Raya Tahun Baru Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan), di sini hari ini.

Ujar Mohamed Faiz lagi, seramai 1,050 anggota serta pegawai dengan kekuatan 26 jentera sehari akan bersiap sedia sempena Ops Raya Tahun Baharu Cina yang bermula dari 28 Januari hingga 2 Februari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan atau pun pergi bercuti untuk memastikan kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

“Sebelum meninggalkan rumah, periksa terlebih dahulu apa-apa yang boleh menyebabkan kebakaran seperti suis lampu dan juga suis penapis air juga harus ditutup,” tegasnya.

Malah menurut beliau lagi, sejajar dengan perkembangan teknologi hari ini yang lebih canggih, orang ramai juga boleh memastikan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman masing-masing berfungsi dengan baik sepanjang ketiadaan bagi memantau keadaan rumah dari masa ke masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya