IPOH: Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi kerja-kerja melebar dan menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek tersebut yang telah bermula bakal meningkatkan kapasiti penumpang sehingga 700,000 setahun berbanding 500,000 ketika ini.
Katanya, kelulusan tersebut bakal meningkatkan lagi potensi Perak untuk menarik pelancong antarabangsa serta merancakkan aktiviti ekonomi
“Pelebaran lapangan tebang ini merupakan berita terbaik hadiah Tahun Baru Cina Perdana Menteri kepada rakyat negeri Perak. Ia ibarat impian jadi kenyataan setelah bertahun-tahun kita menantikan projek ini direalisasikan.
“Saya yakin dengan projek ini akan mengangkat lagi kedudukan Perak sebagai salah satu negeri strategik,” katanya kepada pemberita semasa majlis perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di sini hari ini.
Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Kor Ming, projek tersebut melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan RM8 juta manakala RM52 juta lagi akan diteruskan bagi fasa kedua.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming turut mengumumkan bahawa nilai jangkaan transaksi hartanah untuk tahun 2024 telah mencapai RM217.46 bilion.
Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding tahun 2022 sebanyak RM179.07 bilion dan tahun 2023 berjumlah RM196.83 bilion.
“Kenaikan ini mencerminkan kekuatan sektor hartanah dengan pelbagai faktor yang menyumbang kepada prestasi yang kukuh ini. Dengan kata lain, sektor hartanah diisytiharkan telah pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN