RM1.15 bilion dana zakat Wilayah Persekutuan berjaya diagih, 284,683 penerima manfaat

RM1.15 bilion dana zakat Wilayah Persekutuan berjaya diagih, 284,683 penerima manfaat

MOHD. Nai'im Mokhtar menunjukkan prestasi kutipan dan agihan zakat 2024 di Wilayah Persekutuan di Putrajaya.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM1.15 bilion kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif melalui skim bantuan zakat, Al-Wakalah dan prasarana kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia melibatkan seramai 284,683 penerima, iaitu meningkat sebanyak 11,551 penerima atau 4.45 peratus berbanding tahun 2023.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan agihan zakat itu, sebanyak RM693 juta diagihkan menerusi skim bantuan seperti kebajikan, perlindungan, ekonomi dan perubatan.

Bagi agihan selain daripada skim bantuan berjumlah RM463 juta pula, disalurkan melalui bantuan seperti pembangunan asnaf, institusi pendidikan dan kebajikan.

“Pada tahun ini, MAIWP menyasarkan peningkatan sebanyak lima peratus bagi jumlah penerima berbanding tahun 2024 iaitu seramai 284,683 orang penerima keseluruhan dan 34,651 penerima ketua keluarga.

“Untuk itu, MAIWP menyasarkan perbelanjaan agihan zakat berjumlah RM1.34 bilion dengan fokus utama kepada pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf selain pemerkasaan modal insan menerusi pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2024 Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata,
kutipan keseluruhan zakat harta dan fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun lalu mencatatkan lebih RM1.13 bilion, meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2023 iaitu berjumlah RM1.03 bilion.

Beliau berkata, jumlah pembayar zakat turut meningkat dua peratus kepada 1.86 juta pada tahun lalu daripada 1.83 juta pada 2023.

Daripada jumlah keseluruhan itu, kata beliau, zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM772 juta (68 peratus), diikuti zakat perniagaan RM183 juta (16 peratus).

“Baki 16 peratus lagi terdiri daripada zakat wang simpanan, zakat harta, zakat fitrah, qadha dan lain-lain,” katanya.

Mohd. Na’im berkata, bayaran melalui potongan gaji zakat turut menjadi pilihan utama pembayar dengan menyumbang sebanyak 51 peratus ataupun RM575 juta.

Katanya, ia diikuti bayaran di kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM191 juta, portal PPZ-MAIWP (RM149 juta) dan ejen (RM73 juta).

Berhubung prestasi ini, PPZ-MAIWP turut menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf pada tahun ini adalah sebanyak
RM1.21 bilion dengan jumlah bilangan pembayar zakat seramai 1.89 juta.

Sasaran bagi kutipan wakaf pula adalah sebanyak RM17.4 juta dengan jumlah pewakaf seramai 40,000 orang pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN