BESUT: Seorang pekerja kontrak kebersihan meraih pendapatan sampingan mencecah RM3,000 sebulan hasil mencari dan menjual belut sawah ketika musim tengkujuh.
Mohd. Sakri Che Hussin, 29, berkata, aktiviti itu dilakukan sejak tujuh tahun lalu setiap kali datangnya tengkujuh yang mendatangkan pulangan lumayan.
“Tahun-tahun sebelum ini saya mencari belut sekitar Oktober selepas pulau peranginan tutup dan ketika itu saya juga tidak ada sumber pendapatan kerana terpaksa bercuti ketika musim tengkujuh.
“Tetapi musim kali ini, saya mula mencari belut sawah apabila masuk bulan November yang boleh dikatakan memperoleh hasil sekitar 15 hingga 20 kilogram belut liar setiap hari,” katanya ketika ditemui di Kampung Taman Tasik, Kuala Besut di sini.
Menurut Mohd. Sakri, belut tersebut ditangkap menggunakan tukir plastik yang dipasang di kawasan-kawasan sawah di sekitar daerah ini.
Tukir berkenaan diletakkan umpan ikan sepat yang dijala setiap hari atau siput liar bagi menarik kedatangan belut.
“Belut diperoleh lazimnya bersaiz besar berbanding belut yang diternak. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh semasa mencari belut termasuk ancaman haiwan liar ketika memasuki kawasan hutan paya selain tukir dimasuki ular air.
“Belut yang diperoleh dianggarkan seberat 700 gram seekor dan ada mencecah lebih satu kilogram seekor. Kebanyakan permintaan yang diterima adalah daripada kedai-kedai makan di sekitar daerah ini,” katanya. – UTUSAN