PETALING JAYA: Rakyat Malaysia bukan tidak berminat bekerja di restoran tempatan sebaliknya gaji rendah, waktu kerja panjang dan tidak dilindungi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi punca sektor itu dijauhi warga tempatan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bahawa rakyat Malaysia tidak berminat bekerja di restoran.
Sebaliknya, katanya, kurangnya rakyat Malaysia bekerja di sektor itu disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan kerja yang kurang menarik seperti gaji rendah, waktu kerja panjang dan kurangnya perlindungan sosial seperti KWSP dan Perkeso.
“Tambahan pula, persepsi masyarakat terhadap pekerjaan di restoran tempatan sering kali dilihat kurang berprestij berbanding pekerjaan di restoran makanan segera atau sektor lain yang lebih terkenal.
“MTUC juga menekankan bahawa kebanyakan pekerja tempatan mencari pekerjaan yang menawarkan insentif, peluang peningkatan kerjaya dan faedah yang lebih baik.
“Restoran makanan segera, misalnya, cenderung menyediakan latihan, faedah pekerja dan peluang kerjaya yang jelas, menjadikan mereka pilihan lebih menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pengusaha restoran terus berdepan masalah mendapatkan pekerja tempatan sehingga mereka terpaksa bergantung kepada warga asing.
Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, warga tempatan lebih berminat bekerja dalam sektor lain berbanding di restoran atau kedai makan.
Keadaan ini timbul apabila Presma meminta kerajaan meluluskan kemasukan 25,000 pekerja asing bagi ditempatkan di restoran mamak seluruh negara yang kini mengalami kekurangan pekerja.
Oleh itu, Mohd. Effendy berkata, pendekatan MTUC adalah menggalakkan pengusaha restoran tempatan melakukan transformasi, termasuk menawarkan gaji lebih kompetitif, meningkatkan faedah pekerja dan mematuhi undang-undang pekerjaan seperti Akta Kerja 1955.
Selain itu, katanya, MTUC menekankan pentingnya meningkatkan imej pekerjaan di sektor ini agar lebih menarik kepada pekerja tempatan.
“MTUC percaya bahawa tanggungjawab untuk menarik pekerja tempatan terletak pada majikan untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih kondusif dan bukannya menyalahkan pekerja tempatan atas kekurangan minat mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, restoran besar, terutamanya rangkaian makanan segera, biasanya lebih patuh kepada Akta Kerja 1955 dengan menawarkan faedah pekerja, waktu kerja fleksibel dan perlindungan sosial mencukupi.
“Sebaliknya, isu seperti gaji rendah, waktu kerja panjang dan kekurangan perlindungan sosial seperti Perkeso dan KWSP berlaku di beberapa restoran tempatan lain, khususnya dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana.
“Restoran kecil sering menghadapi tekanan untuk mengurangkan kos operasi, termasuk kos tenaga kerja kerana margin keuntungan tipis, yang menyebabkan mereka menawarkan gaji minimum atau lebih rendah.
“Pada masa sama, pekerja terpaksa bekerja dalam waktu kerja lebih panjang, kadang kala melebihi 12 hingga 14 jam sehari, tanpa fleksibiliti,” katanya.
Bagaimanapun, MTUC meminta Presma untuk mempertimbangkan supaya kekosongan itu diisi oleh rakyat tempatan berbanding mengambil pekerja asing. – UTUSAN