Replika Feri Ikonik mercu tanda baharu Butterworth

Replika Feri Ikonik mercu tanda baharu Butterworth

REPLIKA Feri Ikonik kini dianggap sebagai mercu tanda baharu di Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kawasan Seberang Perai khususnya Butterworth atau dikenali sebagai Bagan dalam kalangan penduduk setempat kini memiliki satu lagi mercu tanda baharu iaitu Replika Feri Ikonik.

Dibina di Dataran Pemuda Merdeka, lokasi itu dianggap strategik kerana terletak di tengah-tengah bandar dan mampu berfungsi sebagai medium yang berkesan dalam mempromosikan identiti tempatan serta daya tarikan pelancongan di sini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya, projek pembinaan replika hasil sumbangan beberapa pihak itu menelan kos hampir RM140,000 dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

“Replika Feri Ikonik ini sebenarnya bukan sekadar mercu tanda, tetapi, ia adalah simbol yang menghubungkan warisan maritim Pulau Pinang dengan aspirasi generasi masa depan.

“Inspirasi rekaannya yang berteraskan feri ikonik Pulau Pinang mencerminkan sejarah dan nostalgia masyarakat yang diperkenalkan pada tahun 1894 dengan feri kecil mengangkut penumpang serta barangan antara George Town dan Butterworth,” katanya.

Mengulas lanjut, Baderul Amin turut berharap agar Replika Feri Ikonik itu akan menjadi simbol penyatuan komuniti yang menggalakkan interaksi antara masyarakat melalui pelbagai program yang akan dirancang di kawasan ini.

“Peranan media sosial dalam memperluaskan jangkauan mesej replika ini juga tidak dapat dinafikan, yang secara tidak langsung akan melonjakkan identiti bandar ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng memberitahu, pembinaan Replika Feri Ikonik yang diberi nama Bagan itu boleh menjadi ‘serampang dua mata’ kepada rakyat Pulau Pinang khususnya mereka yang tinggal di kawasan ini.

Selain berfungsi sebagai satu peringatan dan peninggalan legasi warisan yang amat disayangi oleh rakyat Pulau Pinang, Replika Feri Ikonik ini juga boleh menjadi simbol baharu pelancongan yang sekali gus boleh membantu membangunkan ekonomi di Bagan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya