BUTTERWORTH : Kawasan Seberang Perai khususnya Butterworth atau dikenali sebagai Bagan dalam kalangan penduduk setempat kini memiliki satu lagi mercu tanda baharu iaitu Replika Feri Ikonik.
Dibina di Dataran Pemuda Merdeka, lokasi itu dianggap strategik kerana ia terletak di tengah-tengah bandar dan mampu berfungsi sebagai medium yang berkesan dalam mempromosikan identiti tempatan serta daya tarikan pelancongan di sini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya, projek pembinaan replika hasil sumbangan beberapa pihak itu menelan kos hampir RM140,000 dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.
“Replika Feri Ikonik ini sebenarnya bukan sekadar mercu tanda, tetapi, ia adalah simbol yang menghubungkan warisan maritim Pulau Pinang dengan aspirasi generasi masa depan.
“Inspirasi rekaannya yang berteraskan feri ikonik Pulau Pinang mencerminkan sejarah dan nostalgia masyarakat kita, bermula dari perkhidmatan feri yang diperkenalkan pada tahun 1894 dengan feri kecil yang mengangkut penumpang serta pelbagai barangan antara George Town dan Butterworth,” katanya.
Majlis perasmian Replika Feri Ikonik itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan dihadiri oleh beberapa kenamaan lain termasuk Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut, Baderul Amin turut berharap agar Replika Feri Ikonik itu akan menjadi simbol penyatuan komuniti yang menggalakkan interaksi antara masyarakat melalui pelbagai program yang akan dirancang di kawasan ini.
“Peranan media sosial dalam memperluaskan jangkauan mesej replika ini juga tidak dapat dinafikan, yang secara tidak langsung akan melonjakkan identiti bandar kita ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Sementara itu, Guan Eng memberitahu, pembinaan Replika Feri Ikonik yang diberi nama Bagan itu boleh menjadi ‘serampang dua mata’ kepada rakyat negeri ini khususnya mereka yang tinggal di kawasan ini.
“Selain berfungsi sebagai satu peringatan dan peninggalan legasi warisan yang amat disayangi oleh rakyat Pulau Pinang, Replika Feri Ikonik ini juga boleh menjadi simbol baharu pelancongan yang sekaligus boleh membantu membangunkan ekonomi di sekitar Bagan,” katanya.-UTUSAN