Remaja mengaku salah simbah cat, takutkan wanita

Remaja mengaku salah simbah cat, takutkan wanita

SEORANG remaja perempuan didakwa atas tuduhan  menyimbah cat merah bagi mengakutkan seorang wanita di Mahkamah  Majistret Johor Bahru. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah bagi menimbulkan kegentaran dan khianat dengan menyimbah cat merah di Skudai, bulan lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu didakwa menakutkan seorang wanita berusia 37 tahun dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya dan dalam melakukan ugutan jenayah itu tertuduh telah menyembunyikan identitinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyimbah cat berwarna merah pada pintu pagar rumah dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik mangsa yang sama di sebuah rumah di Taman Universiti, Skudai, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 29 Disember lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran, bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, membayar denda, perintah khidmat masyarakat, dihantar ke sekolah diluluskan atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jatuh hukum.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu dapur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan cat, bulan lalu.

You Κai Χian, 23, yang pada awalnya mengaku bersalah, namun kemudian menukar pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Dia didakwa menyimbah cat ke atas sebuah kereta Mercedes Benz milik seorang lelaki di Taman Pelangi Indah, di sini pada pukul 2.10 pagi, 30 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya