KOTA KINABALU: Seorang remaja berusia 13 tahun maut dirempuh kenderaan semasa melintas jalan berhampiran Kampung Tebobon, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, pejalan kaki yang merupakan seorang remaja maut di lokasi kejadian dipercayai cuai semasa melintas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Musa berkata, berdasarkan laporan diterima kemalangan itu membabitkan kenderaan jenis Perodua Axia dan seorang pejalan kaki.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki yang berusia 20-an yang datang dari arah Kota Kinabalu dan hendak menuju ke arah Bandar Sierra.
“Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di kawasan Kampung Tebobon, tiba-tiba seorang pejalan kaki yang berusia dalam lingkungan 13 tahun telah berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan. Ia menyebabkan pemandu Perodua Axia tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.
“Akibat rempuhan itu, pejalan kaki tersebut telah tercampak ke tepi kanan jalan dan mengalami cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kasim berkata, pejalan kaki tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Katanya, hasil siasatan mendapati pejalan kaki telah cuai ketika melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN