RCI Batu Puteh: Semakan kehakiman Tun M ditolak

RCI Batu Puteh: Semakan kehakiman Tun M ditolak

TUN Dr. Mahathir Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak semakan kehakiman Tun Dr. Mahathir agar beliau dan peguamnya dibenarkan hadir sepanjang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos.

“Permohonan semakan (Dr. Mahathir) ditolak tanpa sebarang kos dan alasan penuh kehakiman akan ditulis dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir ketika ditemui media selepas prosiding berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan hari ini ke Mahkamah Rayuan.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selaku responden.

Pada 12 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Dr. Mahathir untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI.

Pada prosiding lalu, mahkamah diberitahu rujukan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak menuding jari kepada Dr. Mahathir.

Shamsul yang mengemukakan hujahan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli RCI berkata, terma rujukan suruhanjaya siasatan itu tidak menamakan Dr. Mahathir sebagai subjek dalam siasatan.

“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menuding jari kepada Tun Dr. Mahathir,” katanya. 

Sementara itu, Shamsul berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman itu kini bersifat akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan juga telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan permohonan, Dr. Mahathir selaku pemohon memohon satu pengisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam afidavit sokongannya, Dr. Mahathir berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, dia berhak diwakili peguam pilihan.

Dalam pada itu, peguam bela, Zainur Zakaria yang mewakili Dr. Mahathir pula berhujah, semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal. 

Seksyen sama turut memperuntukkan individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.

Zainur berkata, Dr. Mahathir adalah subjek dalam RCI tetapi beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya