GEORGE TOWN: Seorang pegawai rendah polis dan dua lelaki warga Bangladesh direman tiga hari bermula hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung satu kes rasuah yang bernilai RM29,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menurut sumber, pegawai rendah polis berusia 55 tahun dan dua lelaki Bangladesh berusia 52 dan 44 tahun itu dipercayai menjadi perantara untuk menyelesaikan satu kes pergaduhan serta penarikan balik laporan polis membabitkan pengadu yang juga seorang warga Bangladesh.
“Kes berlaku pada 2022 dan 2024, di mana pada tahun 2022 pegawai rendah polis ini telah meminta wang rasuah berjumlah RM22,000 daripada pengadu.
“Pengadu kemudian memberikan wang tersebut kepada pegawai polis dan dua lelaki Bangladesh ini bagi menyelesaikan kes pergaduhan, tetapi, kes pengadu tetap berjalan,” katanya di sini, hari ini.
Sumber yang sama juga memberitahu, pada tahun lepas pula, pegawai polis berkenaan meminta wang tambahan berjumlah RM10,000 kepada pengadu bagi menyelesaikan kes.
“Pengadu kemudian menyerahkan RM7,000 kepada pegawai polis dan dua lelaki Bangladesh terbabit di mana jumlah wang rasuah yang telah diberikan pengadu kepada mereka secara keseluruhannya berjumlah RM29,000,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada tiga suspek itu termasuk pegawai polis berkenaan bagaimanapun ditahan tengah hari semalam di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.
“Sementara itu, seorang lagi lelaki Bangladesh pula ditahan malam semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN