PETALING JAYA: Usaha merapatkan jurang jantina perlu diutamakan termasuk keperluan menambah baik jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif melibatkan bagi merealisasikan masyarakat madani.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, ketika Malaysia bertekad bergerak ke arah negara maju kesenjangan dalam masyarakat terutama jurang antara jantina perlu dibaiki.
Katanya, ini termasuk memperkemas jaringan perlindungan sosial dan memajukan generasi muda melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
”Jadi di Malaysia kami meletakkan TVET sebagai program utama dengan pendekatan mendapatkan golongan anak muda pergi ke program kelayakan mikro.
”Selagi anda mempunyai diploma atau pensijilan, ia akan meningkatkan prospek terhadap pekerjaan anda.
”Ini dilakukan secara meluas (di Malaysia). Berbilion Ringgit telah dibelanjakan supaya terdapat sekurang-kurangnya tahap mobiliti dinikmati oleh pihak berkepentingan yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panel undangan di pentas Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland baru baru ini.
Nurul Izzah berkata, pihak kerajaan telah memperkenalkan inisiatif seperti i-Suri dan beberapa bentuk insurans perlindungan sosial bagi menjamin masa hadapan golongan suri rumah.
Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Social & Economic Research Initiative (SERi) berkata, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan untuk sektor TVET bagi memastikan jaminan tenaga kerja teknikal berskil tinggi pada masa hadapan termasuk kepada golongan wanita. – UTUSAN