DARIPADA seorang penyanyi pop sejak 1985, Ramlah Ram kekal mempertahankan jenamanya sebagai penghibur hampir empat dekad di industri seni tanah air. Bukan sahaja aktif di TikTok dan Instagram, malah wanita kelahiran Tangkak, Johor ini turut meluaskan kenalannya bergaul dengan anak muda walaupun usianya sudah mencecah 59 tahun.
Malah Ramlah berani membuka hati melakukan eksperimen terhadap muzik dan nyanyiannya. Hasil cadangan pasukan dan peminat lebih muda, Ramlah telah melakukan susunan muzik baru dengan rentak ala disko atau ‘dugem’ untuk lagu hitnya, Diam Diam Jatuh Cinta yang diterbitkan pada tahun 1988.
“Saya masih lagi nak bernyanyi, oleh itu saya kena lebih peka dengan media sosial sekarang. Jika kita lihat, rentak lagu catchy lebih mudah menangkap pendengar lebih-lebih budak muda.
“Saya dan pasukan yang berusia lebih mudah selalu duduk dan berjumpa. Mereka sudah seperti keluarga. Mereka yang cadangkan beberapa perkara kerana sudah semestinya generasi mereka lebih peka dengan perkembangan di TikTok. Saya pula ikut yang mana elok.
“Lagi pula lagu Diam Diam Jatuh Cinta memang sering saya bawakan setiap kali ada persembahan. Jadi selepas ini, saya boleh bawa versi yang lebih rancak. Walaupun cadangan daripada mereka, namun susunan lagu dibuat oleh professional. Kita tidak mahu sekadar cincai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sejak lagu versi ‘dugem’ itu diterbitkan, Juara Anugerah Juara Lagu 1988 mula mendapat ramai pendengar baru daripada TikTok.
Namun begitu, Ramlah menegaskan Diam Diam Jatuh Cinta versi dugem 2024 bukanlah dihasilkan kerana mahu memadamkan jejak rekod susunan asalnya. Ia hanyalah sekadar eksperimentasi, memberi warna baru dalam karier nyanyiannya.
“Bukanlah bermakna kalau saya buat sentuhan baru, versi yang lama tidak seronok. Bukan mahu menggantikan, tapi sekadar memberi warna dan nafas baru.
“Mungkin juga saya boleh mendapatkan pendengar baru. Apa salahnya kita terapkan elemen baru yang boleh membuka hati mereka.
“Sebenarnya saya tidak kisah pun jika ada yang gelar saya ‘Ratu Dugem’. Okay sahaja, tiada masalah.
“Lagi pula lagu tersebut sesuai untuk menjadi rentak dugem kerana liriknya santai. Kita kena pilih lagu sesuai,” tambahnya yang sedang merancang untuk menghasilkan satu lagi lagu hit untuk diolah dengan rentak disko.
Jelasnya lagi, tiada isu melibatkan komposer asal lagu itu, Ismail Khan kerana tiada sebarang syarat menyatakan penyanyi itu perlu mendapat persetujuan Ismail terlebih dahulu. Kata Ramlah, dia juga yakin Ismail faham akan pilihannya yang tidak bermaksud merendahkan ciptaan asal lagu tersebut.
“Untuk sentuhan semula lagi, Saya tidak perlu minta izin komposer. Sebab kita bukan mahu ubah lagu tersebut, sekadar mahu beri kesegaran sedikit. Versi lama sudah pun mempunyai pendengar sendiri sejak tahun 80-an.
“Kalau kita terlalu fikir itu ini, satu benda pun tak jadi. Tapi rasanya, komposer tiada sebab untuk marah atau terasa kerana kita bukanlah mahu merendahkan lagu yang dibuat,” tambahnya.
Konsert dengan kawan-kawan.
Dalam perkembangan lain, Ramlah Ram bakal menjadi salah seorang artis yang memeriahkan Konsert Megahitz 3 Dekad Vol 1, di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari tahun hadapan.
Selain Ramlah, antara artis lain yang turut hadir ialah Amir Masdi, Datuk Jamal Abdillah, Nash, Andy Flop Poppy, Zur Eda, Man Bai dan ramai lagi.
“Berkenaan lagu yang dibawakan, saya minta penganjur yang pilihan sebab kalau saya pilih, saya pun pening.
“Sebenarnya konsert itu nanti saya akan santai sahaja. Saya lebih kepada seronok sebab ramai kawan-kawan artis sebaya saya akan datang. Jarang kami dapat nyanyi ramai-ramai begini,” katanya.