PETALING JAYA: Komuniti India di negara ini dijangka menerima perkhabaran gembira sebagai hadiah sambutan Perayaan Ponggal pada Selasa ini demi memperkasakan lagi ekonomi komuniti itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri R. Ramanan menaruh harapan lebih banyak kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagian untuk negara dan komuniti India di negara ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu yang juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India di negara ini akan mengumumkan satu lagi berita gembira untuk komuniti itu sempena Perayaan Ponggal selasa ini.
“Tunggulah sampai Selasa depan. Saya akan umumkannya. Kerajaan Madani cukup komited untuk menjamin harapan masyarakat India di negara sepertimana tujuh inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2024 dibawah Kuskop,” katanya hari ini.
Selain itu, Ramanan juga terus komited menganjurkan program Semarak Kasih Ponggal yang dilaksanakan sejak beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu bagi menyemarakkan lagi sambutan pesta menuai itu di kawasan diwakilinya.
Kata beliau, lebih 4,000 penduduk masyarakat India daripada kumpulan B40 diagihkan tebu dan kit ponggal.
“Program semarak kasih Ponggal membolehkan masyarakat India menyambut perayaan Ponggal dalam suasana ceria, sejahtera dan gembira.
“Masyarakat India di Malaysia bakal menyambut bulan Thai yang menandakan suatu permulaan baharu pada Selasa ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Ponggal Vaalthukal dan semoga ia membawa limpahan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan,” katanya.
Pada selasa ini, masyarakat Tamil di Malaysia bakal menyambut perayaan Ponggal iaitu sebuah pesta menuai yang sarat dengan tradisi dan makna mendalam.
Perayaan ini menyerlahkan keindahan budaya melalui penyediaan juadah istimewa, iaitu nasi manis atau Pongal, yang dimasak dalam belanga tanah liat tradisional.
Hidangan ini melambangkan rasa syukur kepada Dewa Matahari atas limpahan rezeki dan hasil tuaian yang melimpah ruah.
Ramanan turut berkata, rakyat Malaysia perlu melihat semula perjalanan mereka sebagai sebuah negara bangsa yang telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, harmoni dan semakin progresif hari ini dan menurutnya sudah tentu peranan masyarakat India dalam kemajuan negara cukup signifikan.
“Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita seiring dengan gagasan Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN