Rakyat mesti bijak menilai, elak fitnah – Sultan Selangor

Rakyat mesti bijak menilai, elak fitnah – Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan rakyat supaya mengkaji dan bijak menilai sebarang maklumat yang diterima sebelum membuat kesimpulan bagi mengelak berlakunya prasangka dan fitnah.

Baginda bertitah, hal demikian kerana mutakhir ini terdapat tindakan ‘membunuh’ karakter dengan memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Titah baginda, perkara itu dibimbangi membawa budaya yang tidak baik selain menjejaskan keharmonian dalam masyarakat yang diakibatkan oleh hilangnya kepercayaan yang membawa kepada jatuh­nya individu tertentu.

“Lazimnya, character assassination hanya berlaku pada musim pilihan raya, namun kini beta dapati ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.

“Sekiranya tidak dibendung, beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Beta sarankan, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah baginda dalam Perutusan Sultan Selangor sempena Tahun Baharu 2025.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan supaya rak­yat terus berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan seharian.

“Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” ujar ba­ginda.

Sultan Selangor bertitah, rak­yat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik diseru supaya menanam azam untuk lebih fokus dalam usaha membangun ekonomi serta bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

“Beta tidak mahu ada pihak yang masih bertelagah, khusus­nya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan. Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama itu kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya dalam media sosial.

“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rak­yatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu. Jika masih ke­rap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala?

“Akibatnya, rakyat yang menanggung sengsara hanya ke­rana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak.

“Beta yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti. Selamat tahun baharu,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya