PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di luar negara perlu mempunyai hak yang sama seperti mereka berada di tanah air, untuk mengundi dalam pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah membangkitkan mengenai isu undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“SPR merupakan badan bebas, namun saya sudah mengemukakan perkara ini kepada mereka. Mereka perlu memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk mengundi,” katanya pada majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia, semalam.
Anwar yang tiba semalam untuk lawatan kerja selama dua hari ke Belgium berkata demikian ketika ditanya mengenai kesukaran dihadapi rakyat Malaysia di luar negara setiap kali pilihan raya berlangsung di Malaysia.
“Malah, saya beritahu untuk jangan lakukannya menerusi kedutaan (untuk proses pengundian). Gunakan beberapa mekanisme supaya orang ramai boleh datang dan mengundi walaupun ini bermakna ia akan menyebabkan pertambahan dana untuk ini,” katanya.
Mengulas adakah kerajaan akan memberikan keutamaan terhadap teknologi hijau dan penghutanan, Anwar berkata, perkara itu merupakan antara agenda utama pentadbiran.
“Eropah telah memusnahkan semua hutan mereka. Jangan beritahu kami supaya belajar daripada mereka. Hutan kita kini berada pada tahap 54 peratus, malah paru-paru hijau negara bertambah. Tahun lalu, kita tanam sejuta pokok sebagai sebahagian daripada kempen penghutanan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia bersama rakan ASEAN akan memberi perhatian terhadap pelaksanaan grid tenaga ASEAN yang dapat menjana kuasa hidro, tenaga solar dan sumber tenaga boleh diperbaharui lain.
“Kita mempunyai 140,000 pelajar asing di universiti kita. Saya telah banyak melawat banyak negara membangun dan pemimpin mereka mahu menghantar pelajar dan pegawai mereka untuk belajar daripada kita terutama dalam bidang seperti semikonduktor,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bekerjasama dengan industri dan ini bermakna disiplin dan teknologi baharu perlu diperoleh bagi mempertingkatkan taraf pendidikan di Malaysia. – UTUSAN