Rakyat berhak tahu wujud atau tidak Titah Adendum - Hamzah Zainudin

Rakyat berhak tahu wujud atau tidak Titah Adendum – Hamzah Zainudin

HAMZAH Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh menghalang hak rakyat di negara ini untuk mengetahui hakikat sebenar kewujudan Titah Adendum ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi isu berkepentingan awam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan Titah Adendum tersebut adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak. 

Beliau turut mempersoalkan mengapa ia tidak dilaksanakan sekiranya telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak setahun yang lalu.

“Adalah menjadi salah satu kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini penting kerana perlakuan ingkar, menyembunyikan atau menafikan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong, termasuklah Titah Adendum adalah merupakan satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong yang dibuat dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.

Ini termasuk apa juga titah tambahan (Adendum) dalam hal pengampunan Diraja yang dibuat oleh mana-mana Seri Paduka.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikannya.

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang, katanya.

Pada 28 Disember lepas, Jabatan Peguam Negara berkata, permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, di bawah undang-undang, bukannya mana-mana saluran lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya