KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyeru semua ahli Parlimen agar terus menyokong perjuangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan pelarasan pencen terhadap 78,546 orang yang bersara sebelum 2013 dilaksanakan tanpa kelewatan.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, beliau memuji sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh semua 222 Ahli Parlimen terhadap tuntutan ini pada sesi Parlimen yang lalu.
Menurutnya, tiada seorang pun Ahli Parlimen yang membantah cadangan tersebut dan ini menunjukkan perpaduan dalam memperjuangkan nasib veteran.
“Bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan turut memberi sokongan penuh, meskipun tidak lagi memegang jawatan. Ini adalah bukti bahawa isu veteran melangkaui kepentingan politik.
“Terima kasih juga kepada ahli parlimen Ketereh, Lumut dan Tangga Batu yang tidak pernah penat memperjuang isu veteran ATM,” katanya dalam sidang media Presiden PVATM di sini, semalam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan PVATM menerima baik penyelarasan pencen diumumkan kerajaan, tetapi menegaskan isu pokok berkaitan veteran yang bersara sebelum tahun 2013 masih belum diselesaikan.
Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, golongan veteran merupakan wira negara yang telah banyak berkorban semasa era darurat dan konfrontasi, namun kini menghadapi cabaran kewangan pada usia emas.
“Bagi kami, pelarasan pencen tersebut amat diperlukan khususnya bagi veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
“Pelarasan pencen ini adalah soal keadilan sosial. Veteran yang telah mempertaruhkan nyawa demi negara layak menerima penghargaan yang setara dengan generasi terkini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, PVATM turut memegang teras perjuangan menambah baik syarat kelayakan Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Saraan Veteran (BSV) kepada veteran yang tidak berpencen.
Katanya, PVATM bersyukur pihak kerajaan kerana meluluskan kenaikan BSH daripada RM300 kepada RM500 selain menambah baik Kadar Pencen Hilang Upaya seramai 1,798 veteran bermula Januari 2025.
“Bagaimanapun, kami turut mendesak agar bantuan RM300 sebulan kepada veteran tanpa pencen yang berusia 60 tahun ke atas diberikan tanpa syarat pendapatan seisi rumah.
“Ini adalah janji kerajaan, dan kami mahu ia dilaksanakan seperti yang diumumkan tanpa sebarang syarat tambahan yang menyukarkan penerimaan bantuan,” katanya. – UTUSAN