PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dilimpahi gemerlapan cahaya bersempena penganjuran Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU2024) menjelang tahun baharu 2025.
Berkonsepkan futuristik dengan tema ‘LAMPU2024 – Menerangi Masa Depan’, ia kembali menemui pengunjung selepas kali terakhir penganjurannya pada 2019 dengan seni cahaya dan teknologi yang lebih unik.
Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), festival ini bagi mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa serta meningkatkan keupayaan Putrajaya sebagai bandar pintar melalui penggunaan teknologi canggih dalam penganjuran acara berskala besar.
“LAMPU2024 turut dijadikan medan bagi menonjolkan Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya dengan memanfaatkan seni bina ikonik bangunan di Putrajaya.
“Istimewa bagi edisi kali ini, reka bentuk visual mendapat sentuhan pereka dari Itali iaitu Michele Pusceddu dan Antaless Visual Design, selain rekaan anak tempatan yang setanding kualiti persembahannya,” katanya.
LAMPU2024 meneruskan legasi dengan mengetengahkan persembahan Pemetaan Cahaya Mega (Grand Projection Mapping) ke fasad Bangunan Istana Kehakiman, yang menggunakan 16 projektor berbanding 12 projektor sebelum ini.
Ini bagi menghasilkan kualiti visual dan teknologi pemetaan yang lebih canggih.
Jelas PPj, sebanyak lima segmen pemetaan cahaya akan dipersembahkan setiap malam, dengan setiap segmen berdurasi 30 minit sepanjang lima hari penganjurannya bermula 27 Disember lalu.
“Ia sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan platform kepada peniaga makanan, trak makanan dan pempamer untuk mempromosikan produk mereka,” katanya.
Selain festival LAMPU2024, turut diadakan perarakan kereta berhias yang merupakan komponen persembahan baharu untuk tahun ini dan LAMPU2024 Gaming Fest yang diadakan khas bagi peminat e-sukan dan permainan konsol.
Untuk kemudahan pengunjung, sebanyak 5,000 petak parkir disediakan di sekitar tapak festival, perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma dari tiga lokasi dan teksi air untuk akses lebih mudah.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai juadah di Feast dengan pilihan 60 gerai peniaga dan 20 trak makanan. – UTUSAN