JOHOR BAHRU: Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini yang ditutup sejak Ogos lalu bagi kerja-kerja naik taraf dibuka semula kepada umum bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kerja naik taraf selesai sejak November lalu, manakala pemantauan dibuat sepanjang Disember.
“Pusat akuatik ini ditutup sementara susulan keadaan lantai yang dicemari kesan karat selain kejadian pencemaran bakteria e-coli yang berlaku pada Julai lalu.
“Kerja naik taraf dan penggantian dua lantai kolam selesai dilaksanakan pemaju pada November lalu, manakala pemantauan berterusan menerusi pengambilan sampel air dibuat sepanjang Disember,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Mohd. Hairi berkata, hasil laporan berkala menunjukkan air kolam bebas bakteria, sekali gus boleh dibuka dan digunakan orang awam.
“Pusat ini beroperasi setiap hari kecuali Rabu untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh. Orang awam diharap dapat menggunakan fasiliti ini mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan selain menjaga kebersihan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Pada Julai lalu, media melaporkan 19 peserta terdiri daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan renang yang diadakan di fasiliti berkenaan dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti muntah, demam dan kulit gatal. – UTUSAN